Saturday, February 7, 2009

Nazrin: Raja perlu tidak memihak dan berkepentingan

Feb 3, 09 11:15am
Raja, sebagai Ketua Negeri dan Negara, perlu bersifat tidak memihak, berpartisan dan berkepentingan bagi menjamin berlakunya keadilan di kalangan rakyat, titah Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah.
    
Titah baginda: "Selaku Ketua Negeri di peringkat negeri dan Ketua Negara di peringkat nasional, Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan (dan) payung penyatuan, lapor Bernama.

raja nazrin perak"Kehadiran Raja membantu keberkesanan mekanisme semak dan imbang, sekaligus memperkukuhkan institusi-institusi perundangan, eksekutif dan kehakiman yang diwujudkan di negara ini, lantas meningkatkan tahap keyakinan rakyat kepada sistem berkerajaan dan sistem bernegara berteraskan amalan demokrasi, dan berakarkan doktrin pengasingan kuasa," titah baginda.
    
Raja Nazrin Shah bertitah demikian pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan khas Darjah Kebesaran Jubli Perak pemerintahan Sultan Azlan Shah sebagai Sultan Perak yang ke 34 di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar hari ini.

Pada istiadat hari ini, seramai 25 individu yang telah banyak berjasa dan memberi khidmat setia kepada Sultan Perak menerima darjah khas, Darjah Kebesaran Dato' Seri Azlanii (D.S.A) yang membawa gelaran Datuk Seri, yang diwujudkan sempena 25 tahun pemerintahan Sultan Azlan Shah sebagai Sultan Perak. 
    
Turut berangkat ke istiadat itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun.
    
Raja Nazrin bertitah sebagai ketua negeri dan negara, seseorang raja itu perlu sentiasa memastikan agar kata dan laku baginda tidak disalah tafsir dan tidak disalah lihat.
    
Baginda juga bertitah kuasa yang diamanahkan oleh Allah s.w.t itu perlu disertai dengan tanggungjawab kerana ia akan dinilai pada hari kebangkitan.

"Oleh itu kuasa hendaklah digunakan untuk melaksanakan amalan-amalan yang baik. Bahawa kemuliaan dan kehormatan, darjat dan daulat seseorang Raja itu tidakkan pipis datang melayang, tidakkan bulat datang menggolek," titah baginda.
    
Titah baginda kemuliaan yang sejati itu lahir daripada rasa hormat yang tulen, yang terpancar daripada rasa kasih yang suci, atas sifat keperibadian murni seseorang insan dan bukannya terletak pada pangkat, jawatan, gelaran mahupun takhta.
    
Menyentuh Ayahanda baginda, Sultan Azlan Shah, Raja Nazrin bertitah  ayahanda baginda nyata memahami "denyut nadi dan jantung rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai agama, kaum dan budaya, yang berada di bawah payung naungan pemerintahan baginda."

"Ketinggian takhta tidak pernah memisahkan ingatan Paduka Seri Ayahanda akan nasib rakyat bawahan; pagar istana tidak pernah menghalang pandangan Paduka Seri Ayahanda melihat realiti yang berlaku di serata negeri.
    
"Sepanjang tempoh pemerintahan, Paduka Seri Ayahanda senantiasa berpegang kepada prinsip keadilan berlandaskan kedaulatan undang-undang, mementingkan perpaduan – mementingkan kerjasama, mengutamakan permuafakatan – mengutamakan perundingan," titah baginda.
    
Raja Nazrin bertitah sepanjang tempoh 25 tahun berada di takhta pemerintahan, Sultan Azlan Shah tidak sekadar mewarisi institusi kesultanan dan budaya berkerajaan di bumi ini, malah telah memberikan dimensi yang dinamik akan relevansi kewujudannya dalam era moden dunia semasa. 
    
"Paduka Seri Ayahanda telah membuktikan bahawa institusi Raja yang terus dikekalkan, pada mulanya di Persekutuan Tanah Melayu, kemudiannya di bumi Malaysia merdeka, bukan sekadar untuk meneruskan kesinambungan tamadun, bukan sekadar untuk melengkapkan nilai sejarah dan bukan sekadar untuk memenuhi nilai sentimental bangsa, malah institusi Raja itu berupaya menyuntik roh, membentuk wajah, meletakkan identiti, terutamanya, lambang mengekalkan warisan sejarah kerajaan Melayu di bumi ini, " titah baginda.
    
Raja Nazrin bertitah sepanjang tempoh 471 tahun sejarah Kesultanan Perak yang bermula dengan Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah I pada tahun 1528, Sultan Azlan Shah merupakan Sultan Perak keempat, yang bersemayam di takhta pemerintahan, melepasi tempoh 25 tahun. 
    
"Sebelum ini, Sultan Perak kedua, Paduka Seri Sultan Mansur Shah I, bersemayam di takhta Kerajaan selama 28 tahun (1549 – 1577), Sultan Perak ke 11, Paduka Seri Sultan Mahmud Iskandar Shah bersemayam di takhta Kerajaan selama 67 tahun (1653 – 1720) dan Sultan Perak ke 29, Paduka Seri Sultan Idris Murshidul ‘Adzam Shah I, bersemayam di takhta pemerintahan selama 29 tahun (1887 – 1916)," titah baginda.

http://www1.malaysiakini.com/news/97455

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...