Sunday, February 15, 2009

10,000 hutang ceti haram

KUALA LUMPUR: Ribuan kakitangan kerajaan kini menjadi mangsa ceti haram yang lebih dikenali sebagai along dan perkara ini amat membimbangkan kerajaan serta sektor perkhidmatan awam, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, menganggarkan lebih 10,000 kakitangan kerajaan memasuki perangkap ceti haram dan mereka diganggu hampir setiap hari supaya membayar balik pinjaman.

Kenyataan ini dibuat selepas pendedahan sebelum ini menyatakan kira-kira 50,000 anggota perkhidmatan awam terbabit dengan skim cepat kaya.

Pembabitan begitu ramai kakitangan kerajaan dalam skim yang meragukan itu mendorong Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan pekeliling perkhidmatan khas 2/09 bulan lepas yang melarang kakitangan kerajaan menyertai skim itu.

Beliau berharap kerajaan juga akan mengambil langkah serupa bagi membendung ancaman ceti haram.

Ahmad Shah berkata, beliau bimbang jika tidak ditangani masalah itu akan menjejaskan kecekapan dan integriti perkhidmatan awam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, mengakui wujudnya masalah itu dan memberitahu bahawa kerajaan menasihati anggota perkhidmatan awam supaya tidak terbabit dengan sebarang kegiatan along atau skim cepat kaya bagi mengelak daripada dikenakan tindakan tatatertib.

“Mengikut Perintah Am, tindakan tatatertib boleh dikenakan terhadap kakitangan awam yang mempunyai hutang melebihi 60 peratus daripada gaji bulanan mereka dan setakat ini ramai yang sudah dikenakan tindakan itu,” katanya.

Ismail berkata, masalah demikian timbul apabila kakitangan kerajaan tidak berhemat dalam berbelanja.

Beliau menasihati kakitangan kerajaan terbabit supaya mendapatkan kaunseling daripada pengurus kewangan atau menggunakan khidmat yang disediakan Bank Negara. - Bernama


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090214094345/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...