Sunday, February 15, 2009

Bukan Wang Monopoly - Obama

Senat lulus AS$787b



SEORANG anggota Parti Republikan memegang dokumen rang undang-undang pakej rangsangan di Washington kelmarin.


WASHINGTON - Dewan Senat Amerika Syarikat (AS) kelmarin meluluskan pakej pemulihan berjumlah AS$787 bilion (RM2.8 trilion) yang dilihat Presiden Barack Obama bakal merangsang ekonomi negara itu yang semakin tenat.

Pelan yang sebelum ini memerlukan beberapa pindaan kecil akan dihantar ke pejabat Obama untuk ditandatangani sebelum pelaksanaannya.

Pakej itu termasuk peruntukan AS$120 bilion (RM434 bilion) bagi tujuan prasarana seperti membaik pulih jambatan, bangunan kerajaan dan jalan raya.

Sebanyak AS$100 bilion (RM361 bilion) diberikan untuk pendidikan, AS$30 bilion (RM108 bilion) untuk tenaga dan AS$212 bilion (RM766 bilion) bagi potongan cukai manakala AS$267 bilion (RM965 bilion) adalah untuk makanan serta faedah hilang pekerjaan.

Pejabat Belanjawan Kongres menjangka pelan itu akan menjana sehingga tiga juta pekerjaan baru.

Undian 60-38 oleh 100 anggota dewan yang bermula pada pukul 5.30 petang waktu tempatan itu mengambil masa selama beberapa jam.

Sejumlah anggota Parti Republikan dalam dewan itu melahirkan rasa kecewa kerana terpaksa membaca rang undang-undang perbekalan setebal 1,000 muka surat dalam tempoh singkat.

"Parti Demokrat tidak boleh berbuat sesuka hati hanya kerana Republikan menghabiskan banyak wang selepas kejadian 11 September dan ekoran masalah kewangan semasa," kata seorang wakil Republikan.

Sementara itu, Obama menyatakan tindakan Senat meluluskan pelan itu merupakan langkah penting dalam pemulihan ekonomi AS.

"Pelan itu bukan wang Monopoly. Ia perlu dibayar semula oleh anak dan cucu kita," kata Obama. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...