KUALA BERANG: “Tiada petua apa pun, cuma kita kena buat tidak kisah dan tidak simpan kata-kata yang terlepas cakap dari mulut isteri,” kata Muhamad Noor Che Musa, 37, apabila ditanya petua kebahagiaan rumah tangga bersama pasangannya, Wook Kundor yang berusia 106 tahun.
Beliau berkata, perkahwinan yang dibina pada Februari 2006 itu bukan atas dasar menumpang kekayaan atau niat tersembunyi kerana mereka sama-sama susah, sebaliknya sekadar ingin menumpang kasih serta berkongsi kemanisan hidup berumahtangga sebagai suami isteri.
Muhamad Noor yang banyak merantau sejak tamat perkhidmatan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1998 mendakwa dirinya menemui ketenangan hidup di sisi Wook sejak mereka berkahwin.
Perkenalan mereka bermula apabila Wook membenarkan Muhamad Noor yang bekerja di sebuah kilang papan menumpang satu daripada dua rumah sewanya di Kuala Berang dan kasih mereka mula berputik apabila Muhamad Noor kasihan melihat Wook hidup bersendirian, biarpun sering diziarahi saudara-mara.
“Mula-mula dulu memang ada orang mengata, tetapi saya buat tak kisah dengan kata-kata mereka kerana saya ada prinsip sendiri dan sekarang tiada lagi kata-kata sinis dilemparkan.
“Kalau setakat bergaduh mulut, ada juga sekali-sekala dan tidak dapat hendak dielakkan. Bagi saya, ia rencah perkahwinan dan semua orang melaluinya sebab kadangkala ada perkara yang kita terlepas cakap dan tidak dapat penuhi kehendak pasangan.
“Yang penting, sebagai lelaki dan ketua keluarga, kita perlu tahu bila hendak bertegas dan bila pula perlu mengalah,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di rumahnya di Kampung Tok Bak, di sini.
Mengimbas kisah awal perkahwinan unik mereka yang pernah disiarkan Harian Metro pada 1 Mei 2006, Muhamad Noor berkata, seboleh-bolehnya dia tidak mahu perkahwinan mereka dihebohkan kerana niat mereka berkahwin bukan untuk mencari publisiti.
“Apabila jadi tumpuan orang ramai dan keluar di akhbar, saya rasa tidak sedap hati. Namun hendak buat macam mana sebab ramai sangat orang datang tanya itu dan ini, terutama sebab dan rahsia saya kekal bersama isteri sehingga sekarang. Jadi terpaksalah juga layan.
“Malah ada wartawan dari Jepun datang menemubual kami di rumah dan seorang menteri bertemu kami di bandar. Namun yang tidak seronoknya, ada juga yang datang tidak kena waktunya dan mendesak bertanyakan macam-macam,” katanya yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan.
Tambahnya, ada pihak tertentu mengambil kesempatan atas perkahwinan mereka dengan menjual ‘cerita’ mereka untuk kepentingan bisnes serta menjanjikan macam-macam.
Sebelum bertemu jodoh dengan Muhamad Noor, Wook pernah berkahwin dengan 20 lelaki, tetapi tidak pernah dikurniakan zuriat. Kata Wook, dia berharap sangat perkahwinannya kali ini kekal hingga ke akhir hayat dan terbukti selepas lebih tiga tahun hidup bersama, mereka kekal bahagia sebagai pasangan suami isteri.
“Seluruh perjalanan hidup kita ditentukan qada dan qadar. Cuma nasihat saya sebelum bernikah ikutlah adat dan tanya dulu keluarga masing-masing,” katanya yang berasal dari Bachok, Kelantan.
Ditanya rahsia dia kekal bertenaga di usia lebih seabad, Wook berkata, tiada petua khusus melainkan mendekatkan diri dengan Allah dengan sentiasa mengaji al-Quran dan menjaga sembahyang.
Wook yang pernah menunaikan ibadat haji turut mengajar kanak-kanak di kampung itu mengaji sejak berusia 15 tahun.
Malah, Muhammad Noor turut mendalami ilmu mengaji al-Quran dengan Wook tanpa perasaan rendah diri atau malu dan Wook masih memiliki mata yang ‘tajam’ tanpa memakai cermin mata serta dapat mendengar dengan baik.
“Alhamdulillah, saya masih sihat dan tidak pernah kena penyakit berat. Kalau setakat batuk dan demam itu biasalah. Dalam soal makan minum pula, saya tiada pantang sangat, cuma saya tidak makan manis dan pedas,” katanya.
Sekitar penghujung 2006, Wook dilaporkan ingin mencari madu untuk Muhamad Noor sebagai ‘pengganti’ buat suaminya mendapatkan zuriat, namun demi kerukunan rumah tangga dan kesetiaan terhadap isterinya, Muhamad Noor menolaknya dengan baik meskipun pernah terdetik di hatinya untuk beristeri lain.
Walaupun pernah juga terfikir untuk mendapatkan zuriat, Muhamad Noor tidak sampai hati melukakan hati Wook dan memahami perasaan seorang isteri apabila dimadukan.
Sebaliknya, dia kini berharap rumah tangga dibina mereka sejak tiga tahun lalu kekal bahagia hingga ke akhir hayat.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090215093725/Article/index_html
No comments:
Post a Comment