Sunday, February 15, 2009

Ugut bunuh ibu

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my


PEKAN: Sepasang suami isteri di Felda Chini 4, di sini, tidak menyangka anak lelaki yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang tiba-tiba mengamuk dipercayai akibat tekanan perasaan dan mengacukan pisau sambil mengugut membunuh mereka, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, lelaki berusia 23 tahun dan tidak bekerja itu dikatakan hilang pertimbangan tanpa diketahui puncanya dan mengambil pisau di dapur sebelum bertindak mengacukan kepada ibu bapanya.

Pasangan terbabit terkejut dengan tindakan anak kedua daripada tiga beradik itu cuba memujuk supaya bertenang dan menyimpan semula pisau itu kerana bimbang dia bertindak lebih berani, namun cubaan itu gagal sebelum lelaki terbabit terus mengancam membunuh mereka.

Pada masa sama, kejadian terbabit disaksikan adik-beradik lain, tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa menghentikan perbuatan saudara kandung mereka kerana bimbang dicederakan.

Malah, lelaki terbabit turut mengancam menikam mereka jika cuba memujuknya supaya bertenang.

Bagaimanapun, lelaki terbabit kemudian mencampakkan pisaunya sebelum mengambil spanar pembuka tayar dan terus melakukan perbuatan sama.

Adegan mencemaskan itu berlarutan setengah jam berakhir apabila lelaki terbabit berjaya ditenangkan selepas dipujuk berulang-kali.

Lelaki terbabit mencampakkan spanar itu sebelum bapanya menghubungi polis meminta bantuan kerana bimbang kejadian sama berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian ugutan jenayah berkenaan.

Menurutnya, sepasukan anggota polis yang tiba di tempat kejadian mengepung lelaki terbabit yang berada di dalam rumahnya sebelum menahannya.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam rumah, polis menemui spanar pembuka tayar dan pisau yang digunakan lelaki terbabit ketika mengugut keluarganya.

Yahaya berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian terbabit yang menyebabkan lelaki itu tergamak mengacukan pisau dan mengugut membunuh ibu bapa dan dua saudara kandung.

“Suspek ditahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan untuk siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

“Setakat ini, polis masih gagal mendapatkan kenyataan ibu suspek bagi mengenal pasti punca masalah menyebabkan suspek mengamuk berikutan wanita itu enggan membuka mulut menceritakan hal sebenar,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090214093920/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...