KUALA LUMPUR - Bukan sahaja rakan atau jiran yang menjadi mangsa Zul malah anggota keluarganya turut ditipu dengan alasan untuk meminjam wang bagi menjalankan pelbagai jenis projek.
Malah, salah seorang anak saudaranya, Amir juga menjadi sasaran Zul sehingga dia mendakwa rugi hampir RM30,000 termasuk wang yang sepatutnya digunakan untuk perbelanjaan perkahwinan.
Menurut Amir, setelah lima bulan pinjaman itu dibuat, bapa saudaranya itu tidak membayar walau sesen pun sehingga menyebabkan dia terpaksa mencari pendapatan tambahan bagi menampung kos perkahwinannya hujung tahun ini.
"Saya memang memerlukan duit itu untuk perkahwinan saya... sekarang saya sudah kesempitan dan pening kepala hendak mencari duit ganti.
"Bila ini berlaku saya jadi malu dengan tunang dan keluarganya tetapi nasib baik mereka sangat memahami," katanya di sini semalam.
Bercerita mengenai pinjaman kepada bapa saudaranya, Amir memberitahu, ia dibuat atas dasar ingin membantu bapa saudaranya itu dalam satu projek baik pulih pencawang elektrik.
"Kali pertama saya bagi RM15,000 dan selebihnya untuk projek kedua pula sehingga jumlahnya kira-kira RM30,000.
"Namun apa yang pelik saya begitu mudah beri dia pinjam. Lagipun dia (Zul) bapa saudara saya, tak sangka pula dia tergamak menipu," ujarnya yang akhirnya turut membuat laporan polis mengenai kes itu di Balai Polis Kajang baru-baru ini.
Malah, menurut Amir, paling mengejutkan apabila Zul memintanya meminjam daripada ah long untuk membantunya dalam beberapa projek.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm
No comments:
Post a Comment