Kecoh bila ejen sekat lawatan
PETALING JAYA - Suasana di rumah kedai yang menempatkan 140 warga Bangladesh di pusat komersial Bandar Sri Damansara di sini semalam tegang buat seketika apabila seorang lelaki yang dipercayai wakil ejen cuba 'mengusir' sekumpulan petugas media yang hadir di kawasan berkenaan.
Lelaki itu menempelak dan mengusir wartawan dan jurugambar tempatan serta asing dengan berkata:
"Tolong beredar dari sini sekarang. Jangan keruhkan keadaan lagi kerana keadaan sudah terlalu keruh sekarang."
Sambil mengucapkan kata-kata itu dia berdiri di muka pintu bagi menghalang wartawan masuk.
Meskipun ada yang menjelaskan kedatangan mereka atas jemputan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah yang ingin membuat lawatan, lelaki itu tetap berkeras dan mahu melihat orang kenamaan itu dahulu.
Kehadiran Murugiah kira-kira lima minit kemudian mengejutkan lelaki yang dipercayai pihak yang bertanggungjawab membawa masuk pekerja Bangladesh itu. Keadaan menjadi kelam-kabut apabila jurugambar cuba merakamkan senario yang berlaku di situ.
Difahamkan lelaki berkenaan muncul lebih awal apabila dapat 'menghidu' terlebih dulu rancangan kunjungan Murugiah, Jabatan Imigresen dan media.
"Saya tak mahu gambar saya dirakam. Saya tak mahu seorang pun jurugambar di sini, minta semua beredar," katanya dalam nada tinggi kepada Murugiah.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm
No comments:
Post a Comment