Jika berkunjung ke stesen Petronas terpilih, jangan terkejut jika anda didekati stafnya yang memberikan minuman percuma.
MENGHANTAR seorang rakan ke tempat kerjanya di Putra Height, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, memaksa penulis singgah di sebuah stesen Petronas Seksyen 27 untuk mengisi petrol kereta yang kekeringan.
Berjalan menuju ke kaunter pembayaran tiba-tiba seorang lelaki berbaju-T berwarna kuning sambil menggalas sebuah tong beg air menyapa mesra. Lelaki itu kemudian menghulurkan secawan air.
"Minum bang, air peel fresh epal percuma daripada Petronas," ujar staf stesen itu dengan sekuntum senyuman melihat penulis sedikit terkejut.
Selesai mengisi petrol, tertarik dengan perkhidmatan berbeza di stesen tersebut, tidak salah kalau cuba membuat tugasan mengejut di situ.
Seorang kakitangan di dalam Kedai Mesra stesen tersebut memperkenalkan majikannya, Faridah Daud yang kebetulan ada pada hari tersebut.
Tidak keberatan berkongsi cerita, ujar pengusaha stesen Petronas Seksyen 27, Shah Alam itu, perkhidmatan air minuman peel fresh secara percuma kepada pelanggan di stesen Petronas masih baru dalam proses pengenalan.
"Ia satu produk baru yang masih dalam percubaan lagi yang diusahakan Petronas. Oleh kerana masih baru, perkhidmatan tersebut dibuat secara bergilir-gilir selama beberapa hari dari sebuah stesen ke sebuah stesen Petronas di sekitar Lembah Klang," katanya yang mengakui perkhidmatan tersebut diperkenalkan sejak sebulan lalu.
Pemberian minuman percuma itu katanya, dilakukan pada waktu puncak terutamanya tengah hari. "Selain satu penghargaan kepada pelanggan yang membeli minyak, ia dapat menghilangkan dahaga pada waktu tengah hari," kata wanita itu lagi.
Mengakui perkhidmatan seperti minuman air percuma pernah dibuat oleh Petronas seperti promosi minum air kopi pada musim perayaan, jelas Faridah, waktu promosi itu selain dijalankan pada musim tertentu sahaja, pelanggan juga perlu ke kaunter untuk mendapatkan minuman.
"Kali ini kakitangan yang bertugas akan pergi kepada pelanggan untuk memberikan minuman.
"Ia adalah satu usaha untuk meningkatkan lagi budaya mesra pelanggan yang menjadi amalan di sini dan membezakan stesen Petronas dengan stesen-stesen lain," jelas beliau.
Sementara itu, beberapa pelanggan yang ditemui tengah hari itu juga memberitahu, mereka gembira dengan perkhidmatan tambahan di stesen berkenaan.
Kakitangan Proton Shah Alam, Azizul Mohd. Dalil, 32, memberitahu, perkhidmatan pengenalan itu sesuai pada masanya untuk menghargai pelanggan.
"Pada waktu sekarang harga barang yang semakin mahal, Petronas memperkenalkan servis yang mampu menjimatkan duit poket pelanggannya.
"Baguslah, saya harap sangat ia dapat diteruskan," katanya.
Pembantu Tadbir di Universiti Malaya (UM), Siti Nurhana Samsuddin, 21, memberitahu, beliau pada mulanya sedikit terkejut kerana tiba-tiba ada kakitangan stesen yang memberikan minuman secara percuma di situ.
"Oleh kerana kampung saya di Ipoh, Perak jadi saya biasa menikmati air kopi percuma di stesen Petronas ketika pulang ke kampung.
"Namun, ini kali pertama saya dapat dapat servis seperti itu di stesen minyak, waktu tengah hari pula tu dan air jus epal.
"Saya puji perkhidmatan ini kerana selain satu bentuk penghargaan kepada pelanggan, dapat juga menghilangkan dahaga kerana cuaca panas," katanya.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0212&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_02.htm
No comments:
Post a Comment