Sunday, February 15, 2009

Pekerja Asing - Satu rumah 140 pekerja

Satu rumah 140 pekerja


PETALING JAYA: “Kerajaan merangka mekanisme untuk membantu warga asing yang kini merempat tanpa pekerjaan supaya ia tidak menimbulkan masalah di negara ini,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T Murugiah.

“Antara mekanisme yang mungkin digunakan adalah menghantar pulang semua pekerja asing yang gagal mendapatkan pekerjaan di negara ini. 

“Mereka perlu faham, ia sejajar dengan dasar kerajaan yang mengutamakan pekerja tempatan untuk bekerja dalam sektor atau industri dalam negara,” katanya di sini, semalam.

Murugiah berkata demikian selepas meninjau sebuah rumah kedai dua tingkat di Bandar Sri Damansara yang menempatkan 140 warga Bangladesh yang dibuang kerja atau menunggu peluang pekerjaan.

Murugiah memberitahu dakwaan yang mengatakan rumah itu menjalankan kegiatan ‘lelong’ pekerja asing tidak benar, sebaliknya lokasi itu dijadikan transit atau lokasi sementara pekerja sebelum mereka memperoleh pekerjaan.

Beliau berkata, pekerja itu memasuki negara ini secara sah dan hasil pemeriksaan mendapati semua mereka mempunyai permit atau dokumen sah serta diperakui Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri.

“Lokasi penempatan atau penginapan mereka tidak sesuai dan selesa. Bagaimanapun, pemilik syarikat berjanji akan menyediakan tempat lebih baik dalam tempoh tiga hari,” katanya. — Bernama


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090214091005/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...