BUAT pertama kalinya, ibu kepada kembar lapan di Whittier, California, Amerika Syarikat, Nadya Suleman mendedahkan cara beliau merancang untuk membesarkan 14 anaknya sebagai ibu tunggal dengan begitu banyak mata yang memerhati.
Nadya, 33, sebelum ini mengisi dada akhbar di seluruh dunia setelah berjaya melahirkan kembar lapan. Bagaimanapun, perjalanannya selepas itu tidak selancar yang diharapkan setelah orang ramai mengetahui tentang kehadiran enam lagi anaknya yang terdahulu.
Semalam dia mendedahkan kesemua 14 anaknya datang daripada ayah yang sama, iaitu David Solomon, sebagai penderma sperma. Solomon tidak pernah ditemui mahupun berhubung dengan Nadya sejak kelahiran kembar lapan itu.
"Saya mengenalinya sejak 15 tahun lalu. Kami berhubung setahun sekali. Saya tidak boleh mendedahkan di mana dia sekarang, ia rahsia kami.
"Saya terkejut dia sanggup membantu saya banyak kali. Saya sangat menghargainya. Dia ada melawat enam anak-anak yang terdahulu dan mereka menerimanya sebagai seorang kawan. Tetapi jika dia mahu terlibat dengan serius dalam perhubungan ini, itu pilihannya."
Nadya turut mendedahkan kali terakhir dia bercakap dengan Solomon ialah dua minggu sebelum melahirkan kembar lapannya itu.
Laluan hidup di depannya bertambah sukar apabila salah seorang daripada anaknya yang terdahulu menghidap autistik sementara dua lagi berdepan dengan masalah lembam.
Sepanjang membesar, Nadya sememangnya mengidamkan keluarga yang besar. Dengan kehadiran kembar lapan dalam keluarga sedia adanya, Nadya bertegas: "Saya sudah puas melahirkan anak. Keluarga saya sudah sempurna dan saya tidak mahu apa-apa lagi perubahan."
Si kecil Noah, Malia, Isaiah, Nariah, McCai, Josiah, Jeremiah dan Jonah dilahirkan pramatang, iaitu dua bulan awal daripada tarikh jangkaan.
Sekarang mereka akan menghabiskan masa sebulan lagi di hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumah, memandangkan salah seorang daripada mereka kini sedang menjalani rawatan akibat demam kuning.
Bagaimanapun, bukan semua orang menyokongnya memiliki sehingga 14 orang anak melalui semaian in-vitro. Nadya sudah menerima 500 ugutan bunuh melalui surat, e-mel dan poster Ada juga yang menjerit-jerit di depan rumah Nadya dengan mengatakan ibu dan anak-anaknya itu patut mati.
Kesukaran jelas tergambar apabila melihat rumah tiga bilik yang didiami Nadya bersama anak-anaknya di Whittier, California.
Dihias sederhana, barang permainan ditemui di merata-rata tempat, ada kesan makanan pada dinding rumah manakala taman di luar rumahnya juga tidak berkemas.
Selain ditolong ibunya, Angela, Nadya juga dibantu pembantu rumah, Aracelli.
"Aracelli datang ke rumah dari Isnin hingga Jumaat dan saya bayar dia AS$500 seminggu. Dia sangat cekap. Dia bekerja lebih masa sehingga 12 jam sehari dan tidak meminta bayaran tambahan. Dia sangat membantu. Keenam-enam anak saya yang lebih tua mendengar cakapnya."
Caleb, berambut perang keemasan dan bermata biru, dan kembarnya, Calyssa, berambut dan bermata gelap sering tidak sependapat. Mereka menambah kemeriahan kakak dan abang mereka, Elijah, 7, Amerah, 6, Joshua Jacob (JJ), 5 dan Aidan, 3.
Elijah menghidap gangguan perhatian (ADD), manakala Calyssa mempunyai masalah pertuturan.
Menurut Nadya, dia berada dalam kesakitan yang amat sangat selepas pembedahan Caesar itu.
"Sehari selepas melahirkan kembar dua saya dahulu, juga melalui pembedahan Caesar, saya sudah dapat berdiri pada keesokan harinya.
"Tetapi kali ini saya tidak dapat berjalan langsung. Saya terpaksa menggunakan kerusi roda untuk beberapa hari. Saya tidak dapat bercakap kerana terlalu sakit."
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm
No comments:
Post a Comment