Sunday, February 15, 2009

Warga Afrika - Telan ratusan kapsul dadah

Telan ratusan kapsul dadah

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my

dalam serbuan di Bandar Sunway." title="BUKTI...Sabtu menunjukkan kapsul heroin yang dirampas
dalam serbuan di Bandar Sunway." height="409" width="300" border="0">
BUKTI...Sabtu menunjukkan kapsul heroin yang dirampas 
dalam serbuan di Bandar Sunway.

KUALA LUMPUR: Tanpa menghiraukan risiko maut, anggota sindiket penyeludupan dadah antarabangsa warga Afrika sanggup menelan ratusan kapsul dadah pada satu masa semata-mata bagi memastikan kegiatan mereka berjaya melepasi pemeriksaan pihak berkuasa di lapangan terbang.

Rahsia kumpulan terbabit dikatakan terbongkar apabila polis berjaya menemui 145 kapsul dadah sebesar biji nangka setiap satu dipercayai jenis heroin sudah siap dibungkus rapi sebelum ditelan serta disimpan dalam abdomen individu berkenaan bagi diseludup keluar.

Bagi mengelakkan kapsul terbabit pecah ketika dalam abdomen, ia dibungkus dengan beberapa lapisan plastik nipis sebelum ditelan dan dikeluarkan semula ketika membuang air besar selepas sampai ke destinasi. 

Dalam serbuan dijalankan sekumpulan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), jam 7 malam kelmarin di kediaman mewah di Bandar Sunway, polis berjaya menemui dadah terbabit disembunyikan dalam kotak komputer riba.

Pemeriksaan dalam kediaman berkenaan berjaya menemui dua peket plastik heroin seberat 3.396 gram serta 142 kapsul heroin baru siap diproses dan disembunyikan dalam kotak itu.

Dipercayai, ia dibawa masuk ke negara ini yang dijadikan pusat transit sindiket berkenaan sebelum dihantar kepada pelanggan di luar negara termasuk beberapa negara jiran.

Dalam serbuan itu, polis menahan lelaki warga Afrika dipercayai dalang sindiket berkenaan dan dikatakan masuk ke negara ini sebagai pelancong. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Sabtu Osman, berkata semua dadah dirampas bernilai hampir RM2 juta mengikut harga pasaran antarabangsa.

Selain nilai rampasan terbesar bagi tahun ini, kejayaan menumpaskan sindiket terbabit disifatkan berjaya menyelamatkan warga tempatan cuba diperalatkan sebagai kurier dadah tempatan.

Sabtu berkata, kejayaan menyerbu markas sindiket berkenaan susulan tangkapan dua lelaki Nigeria jam 4 petang hari yang sama. 

Ketika kejadian, polis dibantu dua kereta peronda (MPV) bertindak menahan teksi dinaiki suspek terbabit, ketika menghampiri Plaza tol Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dan dibawa ke IPKKL, selepas mencurigai kandungan dua beg dibawa pakaian milik mereka.

“Pemeriksaan awal mendapati kedua-dua beg terbabit kosong, tapi ketika diangkat beratnya menunjukkan ia mengandungi isi di dalamnya, kerana curiga mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

“Selepas pemeriksaan rapi dengan memotong bahagian tertentu didapati terdapat ruang khas dalam beg berkenaan diguna menyembunyikan dadah yang cuba diseludup keluar,” katanya.

Hasil pemeriksaan, polis menemui tiga bungkusan bersalut kertas aluminium pada beg pertama disyaki heroin seberat 1.704 gram manakala pada beg kedua menemui satu lagi bungkusan dipercayai heroin seberat 1.318 gram. 

“Kedua-dua suspek ditahan berusia antara 25 hingga 34 tahun, mereka didapati pelajar kolej swasta di jalan Masjid India, dalam jurusan kejuruteraan dan perniagaan.

“Seorang daripada suspek dikatakan menetap dua tahun di negara ini manakala rakannya baru sebulan,” katanya.

Semua suspek terbabit ditahan membantu siasatan dan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan boleh dihukum gantung mandatori sampai mati jika sabit kesalahan.

Ujian air kencing dijalankan mendapati seorang daripada suspek positif dadah dan mereka tidak mempunyai rekod jenayah.

Polis turut merampas, lima telefon bimbit berbagai jenama, tiga pasport serta wang tunai RM1,000.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090214090929/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...