PETALING JAYA - Selepas insiden kira-kira 140 warga Bangladesh di rumah kedai di Sri Damansara di sini dikunci semalaman, kini hampir separuh daripada mereka tiba-tiba hilang.
Itulah yang berlaku ketika Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah mengetuai pemeriksaan ke rumah tersebut ekoran pendedahan Kosmo! kelmarin. Murugiah datang dengan pegawai beberapa agensi kerajaan dan Biro Pengaduan Awam (BPA).
Tinjauan Kosmo! ketika memasuki premis berkenaan bersama Murugiah mendapati tidak sampai 80 orang warga Bangladesh berada di situ, lalu mendorong beliau membuat kesimpulan apa yang terjadi di situ tidaklah seteruk yang digambarkan.
Kosmo! difahamkan ada sebilangan pendatang terbabit telah dibawa keluar pada malam sebelumnya selepas berita mengenai pemeriksaan ke atas 'asrama' itu yang hanya ada satu bilik air dilaporkan.
Dalam lawatannya, Murugiah turut menempelak agensi pekerja asing itu kerana menempatkan para pendatang terbabit dalam suasana yang tidak selesa sambil mengarahkan mereka dipindahkan dalam tempoh tiga hari.
"Saya sudah berjumpa dengan tuan punya syarikat dan saya telah tegur pasal tempat penginapan ini, mereka berjanji akan cari tempat yang lebih selesa dalam tempoh tiga hari," katanya.
Pada masa yang sama, beliau juga mengesahkan laporan Kosmo!sebelum ini bahawa kumpulan pendatang itu bukan masuk secara haram, sebaliknya mereka memiliki permit.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm
No comments:
Post a Comment