Sunday, February 15, 2009

Geng Parang

Silap samun jiran

Oleh Hadzlan Hassan dan Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


DUNGUN: Kesilapan merompak jiran sekampung dipercayai menjadi petunjuk kepada polis menjejaki dan menumpaskan anggota kumpulan penjenayah ganas Geng Parang atau Geng VIP yang dianggotai warga tempatan dan Indonesia, awal pagi semalam.

Polis memperoleh petunjuk berdasarkan dialek digunakan ahli kumpulan itu selain ada antara mereka dikatakan mengenali mangsa kerana jiran sekampung.

Dalam kejadian semalam, tiga warga Indonesia ahli kumpulan itu mati ditembak polis di Kampung Santong, Paka dekat sini, manakala dua lagi yang cedera masih diburu selepas meloloskan diri dalam serbuan di sebuah rumah kira-kira jam 3 pagi semalam. 

Geng Parang dipercayai terbabit sekurang-kurangnya 11 kes rompak dan samun di daerah Dungun, Marang, Hulu Terengganu dan Setiu dengan menjadikan kawasan pinggir hutan sebagai tempat persembunyian. 

Hassan Deraman, 59, antara mangsa terbaru kumpulan itu apabila rumahnya di Paka dimasuki sekumpulan lelaki kira-kira jam 4 pagi Isnin lalu.

“Ketika rumah saya diceroboh, seorang daripada perompak terbabit menyebut: ‘Eh, Haji Hassan!’ tapi saya tak dapat melihat wajahnya kerana dipaksa menunduk manakala tangan diikat.

“Seorang daripada mereka cuba menikam saya, tapi dihalang anggota kumpulan itu menyebabkan saya tidak diapa-apakan. Mereka hanya menyamun barangan berharga sebelum meninggalkan rumah saya.

“Saya bernasib baik kerana mereka masih mempunyai belas kasihan tidak mencedera atau membunuh saya atau anggota keluarga, sebaliknya hanya mengambil pelbagai barangan bernilai RM31,000,”
katanya.

Harian Metro difahamkan, keluarga seorang daripada penjenayah terbabiat pernah dibantu Hassan yang menghulurkan sumbangan beras dan keperluan dapur.

Kejayaan memberkas kumpulan itu berdasarkan beberapa petunjuk diperoleh pasukan khas Unit Cawangan Jenayah Berat (D9) negeri yang menjejaki mereka melalui ‘Ops Rantau.’

Ketua Siasatan Jabatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, berkata kelima-lima penjenayah warga Indonesia itu - tiga ditembak mati dan dua melarikan diri dalam keadaan cedera - amat dikehendaki.

Katanya, polis turut menahan dua lelaki dikenali sebagai ‘Man Indon’ dan adik iparnya bagi membantu siasatan selepas mereka turut ditemui berada di rumah tempat serbuan dilakukan.

Mohd Fauzi berkata, semua yang terbunuh ditembak kerana menyerang anggota dan merempuh kenderaan polis walaupun beberapa kali diarah menyerah diri.

Beliau berkata, tiga yang ditembak mati berusia lingkungan 30 tahun dan dua daripadanya sudah dikenal pasti menerusi dokumen pengenalan diri yang ditemui pada mayat mereka. 

Menurutnya, serbuan dilakukan hasil intipan sejak awal bulan lalu dan rumah itu diserbu hasil maklumat orang awam.

“Ketika sepasukan 30 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun (IPD) mengepung rumah berkenaan, lima penjenayah terbabit berada dalam sebuah kereta berhampiran rumah itu. Apabila menyedari kehadiran polis, mereka menghidupkan enjin untuk melarikan diri.

“Bagaimanapun, ia disedari polis dan mereka dihalang, namun kelima-lima suspek bertindak ganas menyerang menggunakan parang menyebabkan polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan.


Menurutnya, seorang daripada penjenayah yang masuk semula ke dalam kereta untuk merempuh polis mati terkena tembakan, manakala empat lagi melarikan diri ke kawasan berhampiran.

Mohd Fauzi berkata, aksi ganas penjenayah terbabit tidak berakhir di situ kerana ketika polis menjejak mereka di kawasan berhampiran, dua ahli kumpulan itu tiba-tiba muncul dalam gelap, kira-kira jam 5 pagi dan menyerang polis menggunakan parang.

Ini menyebabkan beberapa lagi tembakan dilepaskan menyebabkan kedua-dua penjenayah terbabit mati.

“Bagaimanapun, dua lagi ahli kumpulan itu berusia 30 hingga 40 tahun berjaya melarikan diri dan gerakan memburu masih diteruskan tapi polis percaya mereka tidak dapat pergi jauh kerana mengalami kecederaan,” katanya.

Berikutan tumpasnya penjenayah berasal dari Lombok, Indonesia itu, polis menemui semula barang kemas, komputer riba dan telefon bimbit bernilai lebih RM40,000 serta beberapa bilah parang yang dipercayai digunakan untuk merompak.

Mohd Fauzi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 kerana cubaan membunuh anggota polis.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090214094024/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...