SUBANG JAYA - Penyangak Pak Arab mengganas lagi!
Kali ini bukan dengan memaksa mangsa menyerahkan barang atau pukau tetapi dengan cara sengaja menjatuhkan wang RM15 di atas jalan.
Melalui taktik yang sama, dua lelaki dipercayai keturunan Arab dapat melarikan RM50,000 daripada seorang pengurus koperasi di sini semalam.
Kejadian pukul 5 petang itu berlaku di sebuah bank di kawasan Taipan di sini apabila pengurus terbabit baru sahaja mengeluarkan wang yang diisi di dalam beg.
Mangsa yang berusia dalam lingkungan 50-an tersebut terpedaya dengan tindakan licik suspek yang menghampirinya ketika mangsa hendak memulakan perjalanan.
Satu sumber memberitahu, sebelum kejadian itu, mangsa dikatakan telah diekori oleh dua suspek tersebut sebaik selesai berurusan di sebuah bank.
"Sebaik mangsa menghidupkan enjin kereta Perodua MyVi miliknya dan meletakkan beg di tempat duduk penumpang depan, salah seorang suspek telah mengetuk cermin pemandu dan menunjukkan wang dua keping not RM5 dan lima helai RM1 yang diletakkan di atas jalan.
"Mangsa yang menyangkakan wang tersebut miliknya yang terjatuh telah membuka pintu dan keluar untuk mengambilnya,'' katanya.
Menurut sumber itu lagi, dalam masa yang sama, seorang lagi rakan suspek bertindak membuka pintu penumpang depan dan melarikan beg tersebut tanpa disedari mangsa yang sedang leka mengambil not-not tersebut di atas jalan.
Sebaik menerima isyarat daripada rakannya yang berjaya melarikan beg itu, suspek tergesa-gesa meninggalkan mangsa yang termangu-mangu.
"Mangsa hanya menyedari dia diperdaya selepas masuk semula ke dalam keretanya dan ketika itu suspek telah menghilangkan diri,'' katanya sambil memberitahu mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Taipan.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm
No comments:
Post a Comment