Sunday, February 15, 2009

Malaysia diserang dadah India


DADAH ketamin yang disorok di dalam tin makanan yang cuba diseludup dari India ke negara ini dirampas di KLIA baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Selain syabu dan pil ekstasi, kini dadah sintetik jenis ketamin atau nama saintifiknya anaestasia juga didapati semakin berleluasa di negara ini.

Malah sejak kebelakangan ini semakin banyak kes Malaysia dijadikan transit sindiket pengedaran dadah ketamin yang kebanyakannya dibawa masuk dari India.

Pihak berkuasa India semalam berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup 6.25kg ketamin ke Malaysia selepas menahan seorang lelaki di Lapangan Terbang Chennai.

Dalam operasi itu, anggota Unit Risikan Kastam Chennai menahan suspek dikenali sebagai Abu Rowther Naina Akhbar Ali, 37, dari Tiruchi, India sebelum dia menaiki pesawat Indian Airlines yang dijadualkan berlepas ke Kuala Lumpur.

"Lama juga mereka (pengedar ketamin) tidak bergerak aktif, tapi kami berjaya menangkap seorang semalam yang membawa lebih enam kilogram ketamin. Dia dalam perjalanan ke Malaysia dan kami percaya lelaki ini diberi upah antara Rs5,000 dan Rs10,000 untuk menyeludup dadah itu," kata Pesuruhjaya Kastam Chennai (Udara), Parminder Singh.


KETAMIN digunakan sebagai bius untuk binatang ternakan di India. - Gambar hiasan


Dadah berkenaan disembunyikan dalam sembilan peket serbuk teh berjenama Brooke Bond Roses yang dimasukkan ke dalam sebuah beg.

"Apabila disoal siasat, penumpang itu berkata dia bersetuju membawa dadah berkenaan ke Kuala Lumpur kerana diberi upah. Kini dia ditahan bagi siasatan lanjut," kata pegawai itu.

Chennai sering digunakan oleh pengedar dadah sebagai pintu keluar dadah yang diseludup ke negara-negara Asia Tenggara.







Persoalannya kenapa secara tiba-tiba dadah pracampuran yang diberi gelaran 'dadah India' itu popular di kalangan penagih baru di Malaysia.

Adakah lebihan pengeluaran dadah jenis itu dari India punca ia dibawa masuk ke negara Asia Tenggara termasuk ke Malaysia sejak kebelakangan ini?

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Prof. Dr. Mahmood Nazar Mohamed berkata, ketamin memang dihasilkan dalam jumlah yang banyak di India tetapi bagi tujuan penternakan dan perubatan.

"Ketamin sebenarnya dihasilkan untuk tujuan membius binatang dan banyak digunakan dalam aspek perubatan. India memang diketahui sebagai pengeluar utama ketamin dan apabila terdapat permintaan dari negara ketiga untuk tujuan penagihan, maka ia diseludup," katanya kepadaKosmo! Ahad di sini semalam.

Mahmood Nazar berkata, gejala itu mungkin punca kenapa ketamin dari India kini 'menyerang' negara ini sehingga memaksa pihak berkuasa bertungkus-lumus menanganinya.

Dalam pada itu, Mahmood Nazar memberitahu, rata-rata penagih ketamin ialah remaja yang gemar bersosial di kelab malam.

Namun, jelasnya, tidak kurang juga golongan dewasa yang dulunya menghisap ganja, heroin dan morfin. Kini mereka beralih kepada ketamin.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...