KUALA LUMPUR: Berkahwin dengan pasangan lebih muda memang menyeronokkan, tetapi tidak semua berakhir dengan kebaikan kerana ada juga masalah yang timbul apabila usia perkahwinan bertambah, sama ada ia disebabkan oleh pihak suami atau isteri.
Perunding Motivasi yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Md Izuddin Ali, berkata keburukan utama yang sering diutarakan apabila wanita berkahwin dengan lelaki muda ialah masalah ‘keintiman’ suami isteri pada masa akan datang.
“Jika perbezaan umur antara belasan hingga puluhan tahun, suami dibimbangi berdepan masalah batin ketika isterinya mencecah usia 50-an dan ke atas.
“Ketika itu, suami juga dibimbangi mula mencari pasal dengan mendapatkan wanita lain, berkahwin baru atau lebih buruk lagi, jika berpisah semata-mata kegagalannya menerima nafkah batin,” katanya.
Menurut beliau, kerana itu ramai wanita bertanya terlebih dulu kepada bakal suami sama ada benar-benar bersedia untuk berkahwin.
Ini kerana, wanita biasanya sedar masalah mendatang kerana umur serta perangai lebih matang berbanding lelaki muda.
“Ia tidak mustahil berlaku jika suami muda atau lelaki itu tidak faham biologi isteri atau wanita seperti kitaran haid, hubungan intim dan sebagainya apabila usia meningkat.
“Lelaki atau suami muda itu pula mungkin tidak melihat perkara berkenaan ketika ini tetapi mula membuka mata pada masa depan. Sepatutnya lelaki perlu faham dan tidak semata-mata menyalahkan wanita,” katanya.
Dalam masa sama, ada juga keburukan membabitkan anak wanita itu sendiri kerana mungkin usianya hampir sebaya bapa barunya.
Oleh itu, yang perlu dilakukan ialah menjaga ketertiban dalam hubungan antara anak tiri dengan bapa tiri kerana dibimbangi jika tidak dikawal ia mampu mencetuskan masalah serius seperti haruan makan anak.
“Mungkin anak perempuan tiri kurang selesa memandangkan usia hampir sama. Oleh itu, penting sekali ayah tiri serta ibu kandung memastikan perjalanan dalam kehidupan seharian teratur untuk tidak mencetuskan masalah,” katanya.
Kebaikan juga banyak, termasuk daripada segi mendidik, sifat matang dalam membuat pelbagai perkara atau keputusan serta persefahaman membabitkan pasangan.
Menurut beliau, wanita berusia biasanya matang dalam membuat pelbagai keputusan selain mempunyai banyak pengalaman dalam hidup.
“Di sini boleh dilihat isteri mampu membantu mematangkan suami muda dalam banyak perkara membabitkan kehidupan selain hubungan rumah tangga.
“Suami muda itu biasanya mahukan belaian serta tumpuan dan isteri boleh melakukannya dengan baik memandangkan kematangan mereka.
“Selain itu, isteri boleh memberi banyak input kepada suami berkaitan kehidupan kerana biasanya lelaki muda kurang ilmu dalam beberapa aspek kehidupan berbanding lelaki berusia,” katanya.
Berkaitan persekitaran, Md Izuddin memaklumkan, perkahwinan membabitkan lelaki muda serta wanita berusia masih dianggap janggal di negara ini, khasnya di kalangan penduduk pinggir bandar.
Berbanding penduduk bandar, masih ada masyarakat pinggir bandar beranggapan ia sukar diterima memandangkan ramai lagi wanita lebih muda atau seusia boleh dijadikan pasangan hidup.
“Ia perlu dihadapi pasangan berkenaan walaupun apa yang mereka lakukan adalah sah menurut lunas agama tetapi janggal di mata masyarakat.
“Pandangan masyarakat tetap ada, sama ada di bandar atau luar bandar. Cuma, di bandar ia kurang memandangkan ramai berkahwin lambat selain gemar memilih pasangan lebih berusia,” katanya.
Menurut beliau, yang penting ialah saling memahami, hormat pasangan dan jangan terlalu mengambil kisah pandangan sekeliling kerana pasangan itu sendiri yang mengemudikan rumah tangga dan bukan mereka.
Md Izuddin turut menasihatkan pasangan seperti itu supaya menerima semua kemungkinan kebaikan serta keburukan pada masa depan dalam rumah tangga.
“Suami muda perlu faham dengan masalah dihadapi isteri berusia, manakala isteri pula perlu bersedia daripada segi mental selain fizikal jika berdepan situasi berkenaan,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090215093750/Article/index_html
No comments:
Post a Comment