GEORGETOWN: Semua menteri dan majikan sektor swasta di negara ini perlu berkorban dengan membenarkan gaji mereka dipotong bagi menyelamatkan golongan pekerja bawahan dalam situasi kegawatan ekonomi ketika ini.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud, berkata sebagai permulaan golongan majikan termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO), lembaga pengarah dan pengurus besar harus mengambil pendekatan itu bagi mengelak pekerja bawahan diberhentikan ketika ini.
Beliau berkata, jika keadaan ekonomi negara bertambah teruk, golongan menteri juga harus bertanggungjawab memikul beban terbabit secara bersama dengan membenarkan gaji mereka turut dipotong.
“Jangan beri cadangan golongan pekerja saja perlu ambil cuti panjang tanpa gaji atau diberhentikan sementara sedangkan golongan majikan lepas tangan.
“Majikan harus bertanggungjawab dan memikul beban demi kebaikan bersama,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi dialog bersama Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy di sini semalam.
Syed Shahir berkata, golongan pekerja tidak seharusnya dibiarkan menanggung sendirian masalah ekonomi ketika ini kerana tidak kira sikit atau banyak pekerja yang dibuang, ia tetap memberi kesan sama kepada keluarga mereka.
Katanya, golongan menteri di negara ini patut mencontohi pemimpin Singapura yang rela gaji mereka dipotong dalam memikul beban masalah kegawatan ekonomi secara bersama.
“Selain itu, cadangan kita sejak 10 tahun lalu kepada kerajaan supaya satu Tabung Pemberhentian Pekerja ditubuhkan bagi membantu golongan pekerja yang diberhentikan sehingga kini masih tidak diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090214093705/Article/index_html
No comments:
Post a Comment