Thursday, April 30, 2009

Alim kucing

Oleh Norfazlina Abdul Rahim


BACHOK: Seorang lelaki warga emas bergelar ustaz berusia 60-an ditahan polis kerana dipercayai memiliki dadah dan cakera padat video (VCD) lucah di rumahnya di Kampung Beris Kubor Besar, dekat sini, baru-baru ini.

Lelaki berkenaan diberkas ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menunaikan solat Maghrib dan menyampaikan ceramah agama di sebuah surau di kampung berkenaan, kira-kira jam 9 malam.

Sebaik ditahan, suspek membawa sepasukan polis ke rumahnya dan hasil pemeriksaan, pihak berkuasa menemui beberapa bungkusan mengandungi dadah.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Yahya Salleh, berkata ketika pemeriksaan di rumah lelaki berkenaan, anggotanya menemui puluhan VCD lucah yang disusun rapi dalam bilik tidur selain beberapa bungkusan dadah di beberapa tempat.

Beliau berkata, lelaki terbabit mulanya enggan mengaku menyimpan VCD lucah, namun selepas polis memaklumkan mahu menunjukkan VCD lucah di tempat dia menyampaikan kuliah sekiranya dijumpai, ustaz terbabit membuat pengakuan memiliki bahan terlarang itu.

Selain itu, polis terpaksa memaklumkan akan memanggil wartawan bagi melaporkan penahanannya jika suspek terus berkeras tidak mahu bekerjasama menunjukkan tempat dadah itu disembunyikan.

“Dia dikesan menjadikan periuk nasi di bahagian dapur untuk menyimpan dadah berkenaan bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Dadah itu sukar ditemui jika polis tidak diberitahu tempatnya disembunyikan,”
katanya.

Beliau berkata, polis yakin ustaz terbabit sudah lama menjalankan kegiatan itu, tetapi statusnya sebagai guru agama membuatkan orang ramai tidak mengetahui kegiatannya.

Ustaz terbabit kini direman di Penjara Pengkalan Chepa.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1959 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara dan dikenakan sebatan.

Polis masih menunggu laporan daripada Jabatan Kimia berhubung kes itu sebelum suspek didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090430074317/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...