riadz@hmetro.com.my
ALOR STAR: “Dia cuma mahu selamatkan saya,” kata Roshidah Awang, 51, isteri kepada Idris Awang, 45, yang meninggal dunia akibat terkena seketul batu-bata yang dilontar seorang anak lelakinya di rumah mereka di Kampung Kubang Leret, Pokok Sena dekat sini, awal pagi semalam.
Bagaimanapun, niat baik lelaki yang berusia 24 tahun itu terpaksa dibayar dengan harga yang mahal apabila dia ditahan polis kerana menyebabkan kematian bapanya.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu, Idris parah di kanan kepala selepas terkena batu bata yang dibaling anak keduanya itu.
Mangsa yang juga penanam sayur kemudian dibawa anak sulungnya, Ismail, 28, ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, kira-kira jam 3 pagi sebelum meninggal dunia jam 9 pagi.
Menurut Roshidah, sebelum kejadian arwah bertindak memukulnya dengan kerusi kayu sehingga lengan kirinya patah kerana berang dengan seorang lagi anak mereka, Mohd Sobri, 21, yang tidak pulang ke rumah sejak seminggu lalu.
“Sejak petang semalam (kelmarin) arwah cukup marah dengan Mohd Sobri yang suka melepak dengan rakannya sehingga tidak pulang ke rumah. Malah, dia turut mencari anak ketiga kami itu di seluruh kampung tetapi gagal.
“Saya cuba menasihatkannya supaya bertenang memandangkan hari sudah lewat malam, bagaimanapun dia tiba-tiba naik berang dan terus memukul saya di bilik,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Dia berkata, anak keduanya yang kebetulan berada di situ cuba menyelamatkannya dengan bertindak spontan membaling seketul batu-bata ke arah arwah.
Roshidah yang ketakutan kemudian melarikan diri ke rumah Ismail, kira-kira 30 meter dari rumah mereka.
Difahamkan, anak keduanya tidak melarikan diri, sebaliknya memanggil adik perempuannya, Siti Aishah, 19, yang tinggal di rumah Ismail untuk membantu.
“Saya tidak tahu kenapa arwah cukup marah semalam (kelmarin) kerana dia selalunya tidak begitu. Kejadian ini cukup menyedihkan saya, bagaimanapun saya reda,” katanya.
Ismail pula menyatakan ketika dalam perjalanan ke hospital, arwah masih sedar dan keadaannya tidak begitu serius.
“Saya tak sangka pagi ini (semalam) dia tiba-tiba meninggal dunia,” katanya.
Ismail yang bekerja sendiri berkata, bapanya tidak menghidap sebarang penyakit kronik dan doktor memaklumkan dia meninggal dunia akibat kecederaan otak.
Jenazah Idris dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Pokok Pauh, dekat sini, kira-kira jam 7 malam tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Star, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab, ketika dihubungi, berkata pihaknya menahan dua anak lelaki mangsa berusia 21 dan 24 tahun semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala selepas dihentak dengan objek keras dipercayai batu bata.
“Setakat ini, siasatan mendapati hanya seorang daripada anaknya yang berusia 24 tahun itu terbabit. Bagaimanapun, kami menahan kedua-duanya bagi membantu siasatan.
“Kami juga masih menyiasat punca kejadian itu dan bagaimana perselisihan faham itu boleh berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20090430070823/Article
No comments:
Post a Comment