Thursday, April 30, 2009

Kawasan panas denggi

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


GOMBAK: Walaupun pelbagai usaha dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menangani wabak denggi di kawasan pentadbirannya, ia tidak menampakkan kesudahan apabila satu lagi ‘kawasan panas’ dikenal pasti menjadi tempat pembiakan aedes membabitkan perumahan Desa Tun Hussein Onn di zon Setapak.

Ini berikutan sepanjang minggu lalu, daripada 48 kes yang dicatatkan sebanyak 10 kes berlaku di kawasan berkenaan, sekali gus menjadikannya kawasan paling tinggi mencatatkan kes denggi, diikuti Cheras, Kepong, kawasan pusat bandar, Klang Lama dan Damansara.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur, Dr Salehuddin Abu Bakar, berkata walaupun wujudnya kawasan baru, jumlah kes denggi secara keseluruhan mencatatkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak 100 kes.

“Berdasarkan rekod, memang bilangan kes di Kuala Lumpur menunjukkan penurunan namun yang menjadi masalahnya kini timbul pula kawasan baru dikenal pasti menjadi kawasan panas kes berkaitan denggi.

“Ini yang kita tidak mahu kerana apa yang kita harapkan supaya jumlah kes serta bilangan kawasan dikesan mempunyai bilangan kes juga turut berkurangan dalam masa yang sama,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Gaya Hidup Sihat 2009, di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan DBKL, Dr Zainol Ariffin Pawanchee.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program itu termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, sukaneka, aktiviti mencari harta karun, pameran keusahawanan serta kesihatan yang disertai pelbagai agensi seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Menurutnya, punca kes aedes terus berlaku ialah kurangnya kerjasama penduduk ketika operasi pencegahan dilakukan terutama sikap penduduk di kawasan perumahan bertaraf elit dan kediaman bertingkat seperti kondominium dan projek perumahan rakyat (PPR).

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090427050939/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...