Thursday, April 30, 2009

Kakak Tua: Bermain api terbakar, bermain pisau terluka!

Khamis April 30, 2009


PERMASALAHAN yang paling rumit dan mengaibkan ialah yang berkisar dengan rumahtangga. Kisah peribadi bukan untuk tontonan orang ramai, tambahan pula kita orang timur. Adat susila dan batasan kata-kata perlu dijaga kerana sekali maruah tercalar, sampai mati tidak dapat ditebus.

Bak kata penyanyi veteran Datuk M Daud Kilau tatkala menghadapi krisis moral didakwa mencabul kehormatan seorang budak lelaki beberapa tahun lalu.

"Andai diambil air seluas lautan sekalipun untuk menyuci muka yang sudah terpalit ini, tidak mungkin dapat kembalikan nama yang sudah busuk...," kata Daud Kilau.

Begitu juga di dalam kes rumahtangga, seeloknya jangan diheret masalah ke pihak media kerana yang dapat malu diri sendiri juga.

Perlukah diheret anak yang tidak berdosa ke medan 'perang' rumahtangga?

Lihat saja dalam kes-kes 'tepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri' - penyanyi Nash Lefthanded Vs Sosilawati, aktres Wan Norazlin dan suami, pemain badminton Roslin Vs Farizah dan terbaru yang melibatkan aktres Norish Karman dan bekas suami, Datuk Hashimuddin.

Bagaikan tidak cukup ruang mahkamah, media pula menjadi 'medan' terbuka untuk menghakimi siapa yang ingin melahirkan apa yang terbuku.

Lebih tidak enak bila tajuk berita menjurus kepada perkara sensitif - siapa yang curang, siapa yang tidak ada dara, tidak balik rumah dan sebagainya.

Namun, yang lebih terkesan dari perbuatan mala ini adalah anak-anak dan keluarga terdekat.

Untuk meleraikan ikatan perkahwinan, memang mudah mengikut kata hati. Setakat membuka pekung dan aib tidak perlu fikir panjang. Tapi bila semua sudah terburai, siapa yang akan menanggung malu.

Mustahil kita tidak berasa malu, kalau aib kita dibuka satu persatu di khalayak ramai dan segala masalah dirungkai sampai tidak ada lagi ruang untuk 'berdamai'.

Mungkin di masa muda, rasa malu boleh ditolak tepi. Bila sudah tua nanti, semua urutan peristiwa akan terkalang-kalang di benak mata. Tika itu, barulah penyesalan akan datang.

Kakak Tua hairan kenapa golongan artis bagaikan sudah dicabut perasaan malu. Sana sini, orang menyebut dan mencerca tapi sedikitpun tidak meninggalkan kesan. Kenapa mahu bergelanggang di tengah orang banyak? sampai mengheret anak-anak tidak berdosa ke pintu mahkamah. Untuk apa sandiwara begini?

Semua manusia membuat silap dan salah. Mana ada buluh yang tidak berbuku? Tapi akal yang ada patut dapat membezakan sesuatu perbuatan yang terpalit malu.

Maaf, kalau sering mengambil contoh aktres comel Nora Danish. Walaupun muda, Nora bijak menangani masalah rumahtangga. Tak payah nak 'buka silat' dengan bekas suami walaupun perkara diheret ke mahkamah.

Sikap kita sebagai bekas isteri janganlah macam kambing harga dua kupang. Melolong-lolong tak tentu pasal. Janganlah bala lalu dibawa singgah, kelak tak tertanggung dek badan. Apa ada pada lelaki, perempuan juga yang menanggung rugi.

Lebih memalukan, bila hati sudah berkenan, status 'isteri orang' sudah tidak dianggap penting lagi. Bila bercerai, barulah semua isi perut tentang cerita peribadi terburai. Walaupun orang tua puas berpesan, benang arang orang jangan dipijak...

Sebuah bidalan Inggeris ada berkata, 'Two wrongs don't make a right" - dua pihak membuat silap tidak mungkin ia akan menghasilkan sesuatu yang baik. Seeloknya, salah seorang beralah dan mengambil iktibar.

Bila ego menguasai diri dan masing-masing ingin menegakkan benang basah, soal maruah di tolak tepi. Semakin rumit, bila masing-masing berhakim kepada sang beruk.

Cubalah berhambakan tangan, bersaksikan mata, berhakimkan hati. Wallahualam.

KAKAK TUA: Bila dah merah: kunyit salahkan kapur, kapur salahkan kunyit!


http://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2009/4/30/mstar_kolum_kakaktua/20090430113901&sec=mstar_kolum_kakaktua

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...