Thursday, April 30, 2009

Coklat bernafsu

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


menunjukkan beberapa jenis gula-gula seks yang
dirampas dari sebuah kilang " title="BUKTI...pegawai penguatkuasa Farmasi, Azidah Abdul Aziz
menunjukkan beberapa jenis gula-gula seks yang
dirampas dari sebuah kilang " height="290" width="300" border="0">
BUKTI...pegawai penguatkuasa Farmasi, Azidah Abdul Aziz 
menunjukkan beberapa jenis gula-gula seks yang 
dirampas dari sebuah kilang

KUALA LUMPUR: Pembongkaran mengejutkan apabila intipan mendapati lambakan pelbagai produk ubatan seks haram umpama gula-gula atau dikenali sebagai ‘coklat stim’ dihasilkan dengan berselindung di sebalik sebuah kilang pengeluar gula-gula dan coklat kanak-kanak.

Difahamkan, syarikat menghasilkan coklat dan gula-gula untuk kanak-kanak itu yang beroperasi di Tampin, Negeri Sembilan, menggunakan peralatan moden untuk mengadun ramuan `istimewa' gula-gula maut berkenaan dengan pelbagai nama, antaranya coklat ginseng, gula-gula Formula 193, Mentalk dan coklat Maca Gin.

Agak mengelirukan apabila gula-gula seks yang dihasilkan kilang berkenaan dan dijual pada harga RM10 sebiji tidak jauh beza, sama ada dari segi saiz atau bentuk dengan gula-gula yang dijual kepada kanak-kanak.

Bagaimanapun, ujian kimia mendapati gula-gula seks terbabit yang boleh membawa maut itu mengandungi kimia berbahaya Sildenafil yang berupaya merangsang nafsu lelaki ke arah perlakuan seks.

Jurucakap Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, pihaknya menjalankan risikan sejak sekian lama bagi mengesankan pihak bertanggungjawab mengedar dan menghasilkan gula-gula rangsangan seks berkenaan secara sulit.

Menurutnya, jika sebelum ini, produk kopi campuran sering dijadikan `alat' untuk dicampurkan bahan kimia berbahaya berkenaan, namun kini sindiket pengedaran ubat-ubatan seks haram cuba berselindung di sebalik gula-gula.

“Selepas mengumpul maklumat, seramai 30 pegawai penguat kuasa farmasi KKM Negeri Sembilan, Melaka dan ibu pejabat, melakukan serbuan dan pemeriksaan mengejut di lima kilang milik syarikat pengeluar gula-gula itu jam 11 pagi kelmarin.

“Operasi besar-besaran itu diketuai Timbalan Pengarah Penguat kuasa Farmasi KKM, Wan Hamid Wan Ibrahim, turut dilakukan serentak di beberapa syarikat pengedar gula-gula seks berkenaan di ibu kota, Selangor, Kelantan dan Johor bagi memastikan ‘gula-gula seks’ berkenaan dibanteras sepenuhnya,”
katanya.

Menurutnya, ketika awal operasi, pegawai penguat kuasa farmasi dibantu lima anggota polis cawangan Narkotik daerah Tampin, gagal mengesan bukti pengilangan gula-gula seks itu di syarikat berkenaan.

“Namun petunjuk yang dicari akhirnya muncul apabila pegawai penguat kuasa menemui bungkusan gula-gula seks berkenaan di satu kilang memproses gula-gula itu.

“Siasatan rapi akhirnya berjaya menemui beberapa kotak berisi gula-gula rangsangan seks dengan jenama coklat ginseng dan gula-gula formula. Kebanyakan gula-gula berbahaya itu ditemui disembunyikan dalam pejabat pengurusan di kilang berkenaan,”
katanya.

Turut ditemui empat bungkusan berisi ribuan biji gula-gula seks seberat satu kilogram setiap plastik serta dokumen mengandungi kaedah dan bahan untuk menghasilkan gula-gula seks berkenaan. 

“Ketika disoal siasat, penyelia kilang terbabit mendakwa ‘gula-gula’ itu ditempah sebuah syarikat di Kuala Lumpur untuk pasaran tempatan selain dieksport ke China dan Timur Tengah,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi sama di empat lokasi di Sentul dan Cheras, Kuala Lumpur, pegawai penguat kuasa farmasi berjaya merampas 68,000 biji gula-gula seks berkenaan yang dianggarkan bernilai lebih RM680,000.

Difahamkan operasi yang berakhir jam 2 petang berjaya merampas gula-gula seks bernilai hampir RM1 juta yang menunggu masa untuk diedarkan ke pasaran.

Bahan kimia dalam gula-gula itu amat berbahaya terutama kepada individu yang menghidap darah tinggi, sakit jantung dan kandungan kolestrol tinggi. Ia boleh menyebabkan tekanan darah dalam tubuh menjadi terlalu rendah. Akibatnya mangsa boleh pengsan dan mati mengejut.

“Penjual atau pengedar produk itu boleh didakwa mengikut Akta Jualan Dadah Pindaan 2000. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak kurang RM5,000 atau dua tahun penjara mengikut Akta Racun 1957 dan denda antara RM25,000 hingga RM50,000 serta dua tahun penjara,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090430073454/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...