BANDAR RAYA MEXICO - Semakin ramai petugas perubatan di semua hospital di sini menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keadaan kebersihan yang boleh mengakibatkan mereka dijangkiti penyakit selesema babi, lapor sebuah akhbar semalam.
Pendedahan itu dilakukan ketika 159 orang terbunuh di Mexico akibat selesema babi.
Di bandar Gustavo A. Madero yang merekodkan ramai pesakit selesema babi, dua jururawat di Hospital Umum Ticomán terkena jangkitan virus tersebut, kata Dr. Jaime Sandoval.
"Ini menunjukkan kami benar-benar terdedah," katanya.
Seorang pelajar perubatan, Juan berkata, mereka tidak dilindungi langsung.
"Kot makmal tidak mencukupi dan kami terpaksa membeli topeng sendiri. Saya juga tidak mempunyai insurans perubatan," katanya.
Pegawai hospital enggan memberi sebarang ulasan.
Seorang pegawai perubatan di sebuah hospital di Narvarte, Nayeli González berkata, sejumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana mempunyai simptom selesema tidak diasingkan secara teratur.
"Wad tidak mencukupi untuk menampung mereka," katanya.
Beberapa pegawai Mexico menyatakan hospital-hospital mempunyai bekalan ubat selesema mencukupi untuk semua pesakit namun ia dinafikan para pegawai perubatan.
Pada Isnin, pegawai pentadbiran Institut Penyakit Respiratori Kebangsaan (INER) menyatakan mereka tidak mempunyai bekalan mencukupi seperti alkohol. - Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm
No comments:
Post a Comment