Thursday, April 30, 2009

Ketamakan jejas imej industri ubat herba

Oleh Noordin Zakaria
noordin@ini.my


PADA 14 April lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan pengharaman beberapa produk ubat tradisional berasaskan herba.

Herba, berdasarkan kajian saintifik, memang terbukti mengandungi bahan aktif yang mampu merawat masalah kesihatan.

Namun, apabila dicampurkan dengan bahan berbahaya oleh segelintir pengusaha tidak bertanggungjawab, ia bukan sahaja boleh memudaratkan kesihatan, malah boleh membawa maut.

Atas dasar menjaga kepentingan awam Kementerian Kesihatan menguatkuasakan pengharaman produk tertentu yang dikesan dicampur dengan bahan berbahaya.

Menurut kenyataan terbaru Kementerian Kesihatan, selaras pengumuman pengharaman keluaran terbabit, produk ubat tradisional itu diharamkan daripada diedarkan dan digunakan kerana didapati mengandungi bahan campuran berbahaya iaitu sibutramine dan seldenafil.

Antara produk berkenaan ialah untuk lelaki dan perampingan. Ia amat berbahaya terutama kepada yang mengalami masalah jantung, darah tinggi serta mereka yang menjalani rawatan kesihatan tertentu.

Sebagai langkah perlu, katanya, Kementerian Kesihatan juga mengambil langkah membatalkan semua pendaftaran produk terbabit.

Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Farmaseutikal, Eisah A Rahman, berkata kebanyakan produk berkenaan dikaitkan dengan herba tongkat ali.

Menurut beliau, sibutramine dan seldenafil hanya dibenarkan diambil dengan nasihat doktor atau bahan ubat berkenaan dibeli di farmasi dengan preskripsi khusus.

Justeru, beliau menasihatkan sesiapa yang menyimpan stok ubat terbabit agar menghentikan jualan, edaran serta penggunaannya serta-merta.

Mereka yang didapati masih menyimpan, menjual atau mengedar ubat terbabit boleh didakwa mengikut Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dengan hukuman maksimum RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ini bukan kali pertama Kementerian Kesihatan terpaksa bertindak mengharamkan produk ubat tradisional sama ada berasaskan herba atau bahan semula jadi lain, malah berkali-kali berdasarkan peruntukan sedia ada seperti Akta Racun 1952, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Jualan Bahan Dadah 1952 dan Akta Perubatan (Jualan dan Pengiklanan) 1956.

Kawalan terhadap semua aktiviti bukan terhad kepada jualan dan edaran, malah pengiklanan. Setiap pengusaha perlu mematuhi peraturan sedia ada sebelum boleh mengiklankan produk masing-masing di media massa.

Kawalan berkenaan, terutama oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) di bawah Kementerian Kesihatan mewajibkan setiap produk ubat tradisional didaftarkan bagi memastikan diperbuat daripada herba dan bahan semula jadi.

Bagaimanapun, penemuan bahan berbahaya dalam ubat tradisional dari semasa ke semasa oleh Kementerian Kesihatan membuktikan masih wujud segelintir pengusaha tamak dan rakus tanpa memikirkan keselamatan dan kesejahteraan orang ramai.

Ini sekali gus mengancam nama baik industri herba dan rawatan alternatif di Malaysia.

Memang pada asasnya, berdasarkan kajian saintifik, bahan semula jadi tertentu termasuk herba, mempunyai bahan aktif yang mampu sama ada mencegah, merawat atau mengurangkan risiko masalah kesihatan.

Kemampuan ini turut ditentukan beberapa faktor lain. Antaranya dari segi dos pengambilan bahan berkenaan, kaedah pemprosesan dan formula ramuan.

Dalam soal formula ramuan inilah sering kali berbangkit kegiatan tidak bertanggungjawab oleh segelintir pengusaha produk ubat tradisional yang tamak dan rakus mencampurkan bahan berbahaya untuk mengaut keuntungan banyak serta cepat tanpa mengambil kira kesan terhadap orang ramai.

Memang jumlah pengusaha sebegini tidak ramai. Pengusaha yang benar-benar jujur mematuhi semua peraturan berkaitan serta menjaga kepentingan dan kesejahteraan pengguna adalah jauh lebih ramai.

Malah, lebih berbahaya, ia boleh mengancam peluang industri herba Malaysia untuk lebih berjaya di pasaran antarabangsa.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan dilaporkan ada menerima laporan dari luar negara berhubung penemuan bahan campuran berbahaya dalam beberapa produk tradisional dari negara ini.

Ini sudah tentu merosakkan imej produk herba negara di mata dunia luar.

Sementara usaha pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap ubat tradisional yang dicampur bahan berbahaya terus dijalankan, orang ramai perlu disedarkan mengenai kebarangkalian wujud segelintir produk berbahaya di pasaran.

Ini kerana kini sudah ada kecenderungan orang ramai untuk mempercayai sepenuhnya bahawa semua produk herba adalah lebih selamat berbanding ubat moden.

Sebenarnya, jika anda seorang daripadanya dan mahu terus kekal dengan kepercayaan itu, perhatikan kenyataan ini:

“Banyak ubat komplimentari (termasuk herba) tidak berkesan, malah sesetengahnya berbahaya.”

Kenyataan itu dikeluarkan Profesor Edzard Ernst, warga Britain pertama mendapat gelaran profesor perubatan komplimentari di negara itu.

Kenyataan ini boleh ditemui di dalam panduan kesihatan dikenali Desktop Guide To Complementary and Alternative Medicine: An Evidence Based Approach.

Tanpa menafikan kewujudan produk herba yang benar-benar berkesan serta selamat di pasaran tempatan, pengguna perlu lebih berhati-hati ketika membuat pilihan bagi mendapatkan produk terbaik untuk kegunaan sendiri atau keluarga.

Setiap produk herba mengandungi bahan aktif tertentu yang boleh memberi kesan mudarat kepada fungsi tubuh.

Malah, ada sesetengah produk herba dikesan mengandungi unsur dadah, racun atau toksid yang memudaratkan sistem tubuh sama ada dalam jangka pendek atau jangka panjang.


Tambahan pula, industri perubatan herba berasaskan sains dan teknologi di Malaysia masih baru walaupun ia rentetan daripada ilmu perubatan tradisional yang diwarisi sejak lama. Aspek penyelidikan saintifik dan ujian klinikal bagi perubatan herba di negara ini masih ‘muda’, malah dalam sesetengah kes, cuba dielakkan oleh pihak pengeluar kerana ia membabitkan kos tinggi dan tempoh masa lama.

Ini diburukkan lagi oleh segelintir pengusaha yang rakus dan tamak mengejar keuntungan semata-mata dengan langsung mengabaikan kesejahteraan dan keselamatan pengguna.

Semua langkah berkenaan - pemantauan, pemeriksaan, penguatkuasaan, pengharaman dan kempen kesedaran - perlu berterusan demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan orang ramai demi kemajuan industri herba di negara ini.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090429062348/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...