WASHINGTON, - Seorang bayi berumur 23 bulan di Texas menjadi mangsa pertama virus selesema babi H1N1 di Amerika Syarikat (AS), kata pegawai Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) semalam.
Kematian itu adalah pertama membabitkan mangsa di luar Mexico yang setakat ini mencatatkan kematian 159 orang.
Sebanyak 91 kes selesema babi dikesan di 10 buah negeri di AS setakat ini.
Sejumlah 65 pesakit kes yang disahkan positif kini sedang dirawat di lima buah hospital di California dan Texas.
"Kami mengesahkan kematian pertama akibat virus H1N1 membabitkan seorang bayi berumur 23 bulan," kata Pemangku Ketua CDC, Dr. Richard Besser.
Bayi itu dipercayai dibawa keluarganya melawat Bandar Raya Mexico sebelum memasuki Brownsville, Texas sebelum jatuh sakit dan kemudian dimasukkan ke Hospital Houston, kata jurucakap Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan Houston, Kathy Barton.
Pegawai-pegawai kesihatan masih belum mendedahkan maklumat terperinci berhubung bayi lelaki itu tetapi dia dipercayai antara enam kes positif virus selesema babi di Texas.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Barack Obama menyatakan kerajaan bersedia untuk melakukan langkah untuk menyekat penularan virus itu serta memohon peruntukan kecemasan berjumlah AS$1.5 bilion (RM5.38 bilion) untuk memastikan bekalan vaksin mencukupi.
"Kerajaan akan melancarkan langkah menyeluruh jika keadaan bertambah serius manakala ibu bapa juga perlu memikirkan langkah kecemasan seperti menutup persekolahan buat sementara waktu," katanya.
Menurut CDC, kanak-kanak berumur bawah lima tahun lebih terdedah kepada selesema dan komplikasi berkaitan.
Lebih 20,000 kanak-kanak terpaksa dirawat di hospital setiap tahun kerana menghidap penyakit itu.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan CDC masih menilai tahap keseriusan selesema babi yang kini sudah merebak ke benua Eropah.
Di Britain, Perdana Menteri Gordon Brown mengumumkan tiga lagi rakyat negara itu disahkan positif menghidap penyakit selesema babi.
Di Austria, kementerian kesihatan negara itu mengesahkan kes H1N1 pertama setelah laporan makmal mendapati seorang wanita berumur 28 tahun diuji positif tetapi mangsa kini semakin pulih.
Selesema babi yang mula dikesan di Mexico minggu lalu menyebabkan lebih 1,500 menunjukkan simptom manakala 49 disahkan positif menghidap selesema babi.
Sepanyol semalam mengesahkan kes pertama mangsa selesema babi yang tidak pernah pergi ke Mexico.
Setakat ini negara itu sudah mengesahkan 10 kes selesema babi.
Pihak berkuasa keselamatan turut melakukan siasatan berhubung dua rakyatnya yang mempunyai gejala selesema babi. - Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm
No comments:
Post a Comment