Thursday, April 30, 2009

Maut silap makan ubat

Oleh Iskandar Shah Mohamed


SEBAK...Paramewaran mendukung mayat Thirishan (gambar kecil).
SEBAK...Paramewaran mendukung mayat Thirishan (gambar kecil).

KUALA LUMPUR: Ahli keluarga seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun mendakwa kesilapan jadual pemakanan ubat diberi sebuah klinik kerajaan di Jalan Ipoh di sini, menyebabkan kanak-kanak itu koma beberapa hari sebelum meninggal dunia, petang semalam. 

Mangsa, Thirishan Raj dikatakan mengadu sakit tekak dan demam biasa pada Jumaat, minggu lalu sebelum dibawa ibu bapanya ke sebuah klinik berdekatan untuk menjalani pemeriksaan.

Sejurus selesai, kanak-kanak itu diminta klinik berkenaan memakan lapan pil penahan sakit sehari, iaitu masing-masing dua biji untuk waktu pagi, tengah hari, petang dan malam. 

Bagaimanapun, keesokan harinya, mangsa mengadu badannya menjadi amat lemah dan pening kepala selepas memakan enam pil tahan sakit seperti disyorkan doktor sebelumnya.

Oleh kerana merasakan sesuatu tidak kena, mangsa dibawa ibu bapanya ke sebuah klinik swasta di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, untuk pemeriksaan lanjut.

Datuk kanak-kanak berkenaan, Datuk N Muniandy, berkata mereka sekeluarga terkejut apabila doktor memaklumkan cucunya itu sudah mengambil dos berlebihan dan perlu segera dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). 

“Kami kemudian segera membawanya ke Unit Kecemasan HKL dan doktor memberitahu selain pengambilan dos berlebihan, dia (cucu) dijangkiti sejenis virus tidak dapat dikenal pasti. 

“Tidak lama kemudian, dia terus tidak sedarkan diri dan dimaklumkan otaknya membengkak selain hampir keseluruhan tubuh badannya tidak berfungsi sepenuhnya.

“Selepas empat hari berada dalam keadaan koma dengan bergantung kepada alat bantuan pernafasan, dia akhirnya disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6 petang tadi (semalam),”
katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Muniandy, selain kesilapan jadual pemakanan ubat diberi klinik swasta berkenaan, dia juga kesal apabila HKL mendakwa rekod perubatan cucunya itu hilang dan gagal dikesan. 

Tinjauan Harian Metro di kediaman mangsa di Taman Rainbow Jalan Ipoh, di sini, semalam mendapati ibu bapa kanak-kanak itu, N Paramewaran, 37, dan M Sanggeta, 32, serta ahli keluarga terdekat tidak dapat menahan sebak meratapi kehilangan mendiang. 

Beliau yang juga Presiden Persatuan Pengedar Surat Khabar Wilayah Persekutuan dan Selangor berkata, mereka sekeluarga berkemungkinan akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu dalam masa terdekat. 

Mangsa dijangka dikebumikan di Kromotarium Jalan Kuari Cheras, hari ini.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090430074101/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...