Thursday, April 30, 2009

Drebar jahanam

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin



KUALA LUMPUR: Kegiatan rompakan licik didalangi pemandu teksi sejak beberapa bulan lalu ditumpaskan apabila polis memberkas seorang lelaki sejurus selepas sejam merompak seorang pekerja kilang.

Penjenayah itu digelar pemandu ‘teksi jahanam’ kerana kerap kali merompak pelanggan teksi bersama seorang rakannya yang menyamar penumpang.

Dalam kejadian terbaru, seorang pekerja kilang warga Bangladesh menjadi mangsa apabila tiba-tiba ditarik masuk ke dalam teksi berkenaan sebelum dirompak wang dan telefon bimbitnya.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa yang berusia 21 tahun berjalan bersendirian berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Tun Perak di sini.

Sumber polis berkata, mangsa yang masih bujang dan bekerja sebagai operator kilang kayu tiba-tiba ditahan dua lelaki tidak dikenali yang berusia 40-an.

“Dalam keadaan terkejut, suspek mengheret mangsa masuk ke dalam teksi merah putih yang diletakkan tidak jauh dari pusat beli-belah itu.

“Ketika berada dalam teksi berkenaan, suspek dipaksa supaya menyerahkan wang tunai dan telefon bimbit,”
katanya.

Menurutnya, mangsa cuba melawan dan enggan akur permintaan suspek sebelum cuba keluar dari teksi berkenaan.

“Suspek mengugut mangsa sebelum merampas wang tunai RM10 dan telefon bimbit mangsa.

“Mangsa kemudian dibawa suspek menaiki teksi berkenaan berpusing-pusing sekitar ibu kota sebelum diturunkan di kawasan berhampiran stesen minyak di Jalan Raja Chulan,”
katanya.

Menurutnya, mangsa menceritakan pengalaman dirompak terbabit kepada beberapa orang awam yang berada di kawasan berkenaan.

“Pada masa sama, beberapa orang awam yang simpati terhadap mangsa sempat mengambil nombor pendaftaran teksi milik penjenayah terbabit sebelum kejadian itu dilaporkan kepada polis.

“Difahamkan sepasukan anggota polis Dang Wangi kemudian menjalankan operasi bersepadu untuk mengesan teksi dan pemandu terbabit sejurus selepas laporan dibuat,”
katanya.

Menurutnya, polis mengesan suspek di hadapan sebuah kedai makan berhampiran Jalan Pudu kira-kira sejam selepas kejadian.

“Suspek ditahan dan hasil pemeriksaan, polis menemui telefon bimbit yang disamun daripada mangsa,” katanya.

Difahamkan, polis kini menyiasat kaitan suspek dengan beberapa kes jenayah sama yang turut dilaporkan berlaku sejak beberapa bulan lalu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090430072211/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...