Thursday, April 30, 2009

Obama rai 100 hari pentadbiran


OBAMA (kiri) berjalan dengan seorang pegawai kanan tentera udara di Pangkalan Tentera Udara Andrews di Maryland semalam.


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS) menyambut hari ke-100 hari pemerintahan beliau semalam dengan melakukan lawatan ke pedalaman AS sebelum mengadakan sidang media berhubung pentadbirannya.

Sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 20 Januari lalu, Obama terpaksa menangani krisis ekonomi terburuk sejak Zaman Kemelesetan Besar pada 1930-an, mengubah dasar ketenteraan di Iraq dan Afghanistan dan terpaksa membuktikan bahawa Presiden kulit hitam pertama AS itu mampu melaksanakan pembaharuan di mata dunia.

Obama kini berdepan cabaran paling getir iaitu serangan selesema babi ke atas AS di mana pihak berkuasa bimbang wabak itu akan merebak di seluruh dunia.

Obama meninggalkan White House pagi semalam dan menuju ke bandar St. Louis di Missouri untuk mengadakan beberapa pertemuan bagi menerangkan perspektif beliau mengenai pemerintahan 100 hari pertamanya.

Obama kemudian akan kembali ke Washington untuk menghadiri sidang media televisyen ke seluruh negara apabila beliau akan menjawab pelbagai soalan berhubung cabaran yang menanti AS.

"Ruang untuk penambahbaikan sentiasa terbuka," kata jurucakap Obama, Robert Gibbs dengan memberikan penarafan baik dan memuaskan berhubung pencapaian ketuanya itu.

"Saya berpendapat Presiden dan pentadbirannya berpuas hati dengan pencapaian 100 hari pertama jika dilihat daripada aspek pemulihan aliran kredit, peningkatan kestabilan kewangan dan pelaksanaan pelan pemulihan ekonomi serta pelaburan," tambahnya. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...