Thursday, April 30, 2009

Pelajar ponteng dicekup khalwat

Oleh Zuliaty Zulkiffli



ALOR STAR: Tindakan seorang pelajar perempuan tingkatan tiga menipu keluarganya kononnya dia pergi ke sekolah, akhirnya memakan diri apabila dia dicekup berkhalwat bersama teman lelakinya oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) di sebuah hotel murah, di sini, pagi kelmarin.

Remaja berusia 15 tahun itu dicekup bersama pasangannya yang berusia 21 tahun di sebuah bilik hotel murah di Jalan Teluk Wanjah, dekat sini, dalam serbuan kira-kira jam 11.45 pagi.

Dia yang sepatutnya belajar di sekolah menengah di Kuala Kedah dikatakan mengikut teman lelakinya yang juga seorang peniaga burger ke hotel berkenaan untuk melepaskan rindu.

Ketika soal siasat, lelaki itu memberi alasan mahu menumpang mandi di bilik hotel itu bersama pasangannya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jaik, Sheikh Muhammad Suhaimi Salleh, berkata pihaknya membuat pemeriksaan di hotel murah itu selepas menerima maklumat orang awam yang mendakwa ada pasangan Islam bukan mahram menyewa di situ.

Beliau berkata, lapan anggota penguat kuasa diketuai Mohd Nasir Dali membuat pemeriksaan di hotel murah terbabit dan mendapati kebanyakan pintu di situ tertutup dan berkunci dari dalam.

“Selepas mengetuk pintu dan memperkenalkan diri, pintu bilik itu dibuka seorang lelaki dan pemeriksaan lanjut menemui seorang remaja perempuan di dalam bilik terbabit.

“Hasil soal siasat mendapati, pasangan itu bukan mahram atau suami isteri dan ditahan mengikut Seksyen 9(1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana berkurung sehingga mendatangkan syak.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali,”
katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Dalam serbuan yang sama, penguat kuasa Jaik turut menahan tiga pasangan bukan mahram berusia 20-an hingga 50 tahun yang disyaki berkhalwat di bilik masing-masing, dalam serbuan serentak, petang kelmarin.

Muhammad Suhaimi berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan di beberapa hotel murah di bandar raya ini dan daerah lain dalam usaha untuk membanteras maksiat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090430071751/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...