Thursday, April 30, 2009

Lima isu perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan dipertanggungjawab menentukan kesahihan penukaran agama kanak-kanak daripada satu perkahwinan sivil kepada agama Islam oleh bapa atau ibu tanpa persetujuan dan pengetahuan bapa atau ibu yang tidak menukar agama.

Mahkamah Rayuan semalam merujukkan kes hak penjagaan anak Shamala-Ridzwan ke Mahkamah Persekutuan bagi penentuan terhadap lima persoalan perlembagaan.

Mahkamah tertinggi itu perlu membuat penghakiman terhadap percanggahan antara undang-undang Islam dan sivil berkaitan penukaran agama dan hal ehwal keluarga dan juga Perlembagaan Persekutuan termasuk mengenai kesamaan dan kebebasan beragama.

Satu daripada persoalan itu ialah sama ada Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 yang memberikan hak kepada ibu atau bapa yang menukar agama untuk menukar agama anaknya daripada perkahwinan sivil tanpa pengetahuan atau persetujuan bekas pasangannya tidak konsisten dengan Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961. 

Pindaan Akta Penjagaan Kanak-Kanak itu memberikan hak sama rata kepada ibu bapa dalam membesarkan anak-anak mereka.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdull Hamid Embong yang bersidang bersama Hakim Datuk Hasan Lah dan Datuk Abdul Malik Ishak, sebulat suara membenarkan permohonan bagi perintah rujukan dikemukakan S Shamala yang terbabit dalam pertikaian hak penjagaan anak dengan suaminya yang memeluk agama Islam, Dr Jeyaganesh C Mogarajah. 

Shamala, 37, berkahwin dengan Jeyaganesh, 41, pada 1998 mengikut upacara agama Hindu dan perkahwinan mereka didaftarkan mengikut Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976.

Pada 2002, empat tahun selepas berkahwin, Jeyaganesh memeluk agama Islam dan turut menukar agama anaknya Saktiwaran dan Theiviswaran, yang ketika itu berumur tiga dan dua tahun, kepada agama Islam tanpa persetujuan Shamala. 

Permohonan untuk merujuk persoalan perlembagaan kepada mahkamah dibuat dengan persetujuan Jeyaganesh, yang nama Islamnya Muhammad Ridzwan Mogarajah dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Jeyaganesh yang diberikan hak melawat anaknya mendakwa, dirinya tidak bertemu dua anaknya itu sejak lima tahun lalu.- Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...