ahmadshahrul@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Seorang bekas menteri Kabinet mendesak kementerian berkaitan menyelesaikan segera kelewatan ratusan tuntutan fasakh ‘tegar’ di mahkamah syariah bagi mengelakkan lebih ramai isteri teraniaya dan menjadi gila akibat perbuatan suami yang tidak bertanggungjawab.
Tindakan itu perlu bagi memastikan institusi keluarga Islam pada masa depan tidak porak-peranda apabila pertikaian suami dan isteri membabitkan tuntutan berkenaan berlarutan terlalu lama.
Bekas menteri berkenaan, Tan Sri Zaleha Ismail, berkata desakan itu juga dibuat selepas mengambil kira pelbagai rungutan dan aduan mengenai keperitan isteri yang menjadi mangsa dan penderaan suami yang menjadikan mahkamah sebagai ‘alat’ membalas dendam.
Zaleha berkata, masalah itu perlu diberikan perhatian serius kerana yakin ia membabitkan terlalu ramai golongan isteri yang didera akibat kes fasakh terlalu lama di mahkamah.
“Saya percaya ramai isteri dan wanita yang akan menjadi gila dan mengalami tekanan emosi serius akibat tuntutan fasakh mereka yang tergantung di mahkamah.
“Malah, paling mengecewakan masalah kelewatan itu dikesan berpunca daripada sikap suami yang sering tidak hadir ke mahkamah,” katanya.
Beliau diminta mengulas laporan Harian Metro baru-baru ini, mengenai seorang isteri jelita menjadi gila akibat tidak mampu menahan tohmahan dan desakan hidup apabila tuntutan fasakh tidak diselesaikan walaupun berbelas tahun difailkan di mahkamah syariah.
Zaleha yang juga Menteri Kebajikan Masyarakat pada 1990-an berkata, sudah tiba masanya menteri berkaitan berbincang dengan hakim syarie dan alim ulama bagi mencari jalan menyelesaikan isu yang semakin membimbangkan masyarakat Islam di negara ini.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090429062615/Article/index_html
No comments:
Post a Comment