PKR menempelak perdana menteri yang mengalu-alukan penyertaan dua exco kerajaan Perak bersama BN dengan alasan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah menganggap usaha lompat parti sebagai "tidak bermoral."
"Perdana menteri kongkalikong mengalu-alukan kehadiran mereka ke dalam Umno walhal beliau dan kelompoknya membebel soal tidak bermoralnya langkah tersebut," kata penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Ketua pembangkang juga menyifatkan kehilangan beberapa hari dua wakil rakyatnya itu Jamaluddin Mat Radzi dan Osman Jailu dalam usaha menyertai BN sebagai "menggerunkan" kerana penggerak utamanya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.
"Apakah lompatan terbaru melibatkan sogokan wang dan ugutan pendakwaan rasuah yang terdahulu?
"Najib perlu menjawab kerana penglibatan beliau memujuk kedua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tersebut," kata Anwar lagi di blognya sebentar tadi.
Beliau mengadakan pertemuan dengan baki semua enam wakil rakyat PKR Perak termasuk Adun Bota, Datuk Nasaruddin yang melompat menyertai parti itu pada 25 Januari.
"Sikap dan pendirian tegas mereka dihargai," katanya.
Anwar berkata beliau telah menjangka "tindakan lebih ganas" oleh pimpinan Umno terhadap Pakatan Rakyat dalam ucapannya di Terengganu menyambut kemenangan calon PAS Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut pertengahan bulan ini.
"Jika ikhlas dan benar pendirian mereka, mengapa harus menghilangkan diri? Bezakan dengan pendirian Nasha di Bota!" katanya lagi.
http://www1.malaysiakini.com/news/97391
|
No comments:
Post a Comment