Saturday, February 7, 2009

Keadaan kembali tenang, demonstran bersurai


06 Feb 2009 2:58PM

Malaysiakini melaporkan tiada lagi penunjuk perasaan di depan Istana Iskandariah, tempat majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, tetapi masih ada lebih kurang 1,000 penyokong Pakatan Rakyat di Masjid Ubudiah. 

Dilaporkan 10 orang berjaya ditangkap polis. Tiada kenyataan rasmi polis dikeluarkan, setakat ini.

Majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak,  Datuk Dr Zambry Abd Kadir akan berlangsung tidak lama lagi. 

Semua 28 wakil rakyat Pakatan Rakyat termasuk Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin telah memutuskan untuk memulaukan majlis tersebut di balai istiadat Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Pemimpin PAS mengarahkan para penunjuk perasaan bersurai, dan menyeru polis agar bertenang dan berundur.

Keadaan mulai kembali tenang di Masjid Ubudiah di bandar diraja Perak. 

Kelihatan beberapa orang menangis, sambil mengeluh "kenapa masjid diperlakukan sebegitu."

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan sidang media khas di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya jam 4.30 petang ini.

BERITA SEBELUMNYA

Terkini: FRU sembur gas surai kemaraan ribuan penyokong serbu Istana Iskandariah

KUALA KANGSAR: Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menghalang kemaraan ribuan penyokong pembangkang menuju ke Istana Iskandariah bagi menghalang upacara angkat sumpah Menteri Besar yang baru.

Kebanyakan mereka lari bertempiaran menghala semula ke Masjid Ubudiah bagi menyelamatkan diri.

Sehingga kini mereka masih berhimpun di hadapan masjid tersebut sambil memegang kain rentang dan berteriak bagi menghalang upacara tersebut.

Beberapa minit selepas itu Polis Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa sekali lagi melepaskan gas pemedih mata apabila penyokong pembangkang yang berhimpun di atas jalan raya di hadapan Masjid Ubudiah enggan bersurai.

Anggota-anggota FRU terpaksa turun ke jalan raya bagi mengarahkan mereka mengosongkan jalan tersebut, ia bagi membolehkan kenderaan orang kenamaan menghala ke Istana Iskandariah bagi upacara angkat sumpah.

Tindakan tegas FRU itu, akhirnya sedikit demi sedikit membolehkan kenderaan boleh melalui jalan tersebut.

Malaysiakini pula melaporkan kelihatan sejumlah orang baring di atas jalan menuju istana untuk menghalang sesiapa ke arah istana. 

Sekejap tadi polis berjaya menyuraikan kumpulan 300 orang tadi.

Kira-kira 300 orang menghalang jalan menuju istana. Polis pencegah rusuhan melepaskan gas pemedih mata bagi kali ketiga ke arah mereka.

Sementara itu, polis menangkap para penyokong menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Tiada angka rasmi jumlah tangkapan diketahui, setakat ini. 

Polis pencegah rusuhan mengejar orang ramai  di jalan depan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. Mereka berlari tidak tentu arah dalam keadaan asap tebal gas pemedih mata.

Beberapa orang penyokong kelihatan membaling objek seperti kayu ke arah polis. 

Jalan depan masjid dari kedua-dua arah ditutup oleh polis. / Utusan, Malaysiakini, Foto: Blog Cina Islam


Penyokong baring dijalan raya. Pemimpin PAS arah para penunjuk perasaan bersurai, dan menyeru polis agar bertenang dan berundur

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...