Thursday, January 22, 2009

3 pelajar jadi ibu


Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my




MELAKA: Tiga remaja yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini bergelar ibu muda apabila melahirkan anak luar nikah dalam tempoh dua minggu pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Rahimin Bani, berkata tiga remaja berusia 18 tahun itu, bagaimanapun sempat menduduki peperiksaan berkenaan.

Menurutnya, mereka antara 17 individu melakukan kesalahan hamil luar nikah sejak awal Januari lalu dikesan Jaim selepas menerima laporan mengenai kes itu.

“Mereka bergelar ibu muda sebaik tamat persekolahan akibat ketelanjuran bersama pasangan masing-masing sebelum ini.

“Kami masih menunggu semua remaja terbabit hadir ke Bahagian Penguat kuasa Jaim untuk siasatan lanjut selepas masing-masing selesai tempoh pantang,”
katanya.

Beliau berkata, sebanyak 17 kes hamil luar nikah membabitkan wanita berusia antara 17 hingga 30 tahun dan kebanyakan mereka terlanjur akibat pergaulan bebas bersama teman lelaki.

Katanya, ada juga kes hamil luar nikah itu membabitkan pasangan melakukan zina ketika berada di rumah keluarga, namun tidak disedari ibu bapa mereka.

“Selain itu, banyak perkara sumbang berlaku ketika mereka berdua-duan di tempat sunyi termasuk di hotel dan rumah sewa.

“Berdasarkan siasatan, hubungan renggang dengan ibu bapa punca mereka terjebak dalam kegiatan tidak bermoral itu selepas tidak mendapat perhatian dan kasih sayang.

“Individu yang didapati hamil atau melahirkan anak luar nikah boleh didakwa mengikut Seksyen 54, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara 24 bulan atau kedua-dua sekali,”
katanya.

Menurutnya, ibu bapa diminta memantau pergerakan anak-anak serta sentiasa memberi perhatian sebaik mungkin.

Beliau berkata, pihaknya mengadakan kempen ‘katakan tak nak pada zina’ bagi mengelak orang ramai terutama golongan muda terjebak melakukan perbuatan itu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090119095226/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...