Thursday, January 22, 2009
Warga emas rogol cucu saudara
JITRA: Seorang warga emas berusia 84 tahun sanggup menjadikan cucu saudaranya sendiri sebagai pemuas nafsu apabila merogol kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu tanpa belas kasihan sejak setahun lalu.
Bagaimanapun, perbuatan warga emas itu terbongkar apabila seorang jirannya ternampak dia berbaring di atas mangsa di rumahnya di Kampung Pasir, Mukim Naga, dekat sini, petang Jumaat lalu dalam keadaan mencurigakan.
Mangsa yang juga murid tahun empat sebuah sekolah rendah, di sini, dikatakan tinggal berjiran dengan suspek di kampung berkenaan dan dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan.
Suspek dikatakan sudah beberapa kali merogol mangsa sejak setahun lalu ketika ibu dan bapa mangsa tiada di rumah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusof, berkata jiran yang ternampak perbuatan suspek kemudian memaklumkan kejadian itu kepada ibu mangsa yang berusia 27 tahun.
“Berikutan itu, mangsa dibawa ibunya ke Hospital Jitra dan doktor mengesahkan terdapat kesan koyakan pada kemaluan mangsa yang dipercayai dirogol.
“Ibu mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu berhubung kejadian itu keesokannya.
“Berdasarkan laporan, kali terakhir mangsa dirogol pada Jumaat lalu di rumahnya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Ibrahim berkata, mangsa dipercayai dirogol beberapa kali termasuk di ruang tamu, di bilik tidur serta beberapa tempat lain di rumah mangsa sejak tahun lalu.
Susulan daripada laporan yang diterima pengadu, pihak polis kemudian membuat serbuan ke rumah suspek malam Sabtu lalu dan menahannya untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sumbang mahram.
“Suspek direman bermula kelmarin untuk membantu siasatan dan setakat ini kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini," katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090120072736/Article/index_html
No comments:
Post a Comment