Thursday, January 22, 2009

Peguam Sirul pohon kenyataan beramaran

Jan 21, 09 7:22pm

Peguam yang mewakili Koperal Sirul Azhar Umar, tertuduh kedua dalam perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini agar diberikan akses kepada kenyataan beramaran yang direkodkan DSP Musa Safri.

Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Sirul Azhar semasa mengemukakan permohonan itu berkata kenyataan beramaran yang direkodkan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah itu penting bagi pasukan pembelaan untuk menyediakan pembelaan.

Beliau berkata Musa merupakan saksi penting untuk menyangkal afidavit Abdul Razak Abdullah Baginda dan keterangan penyangkalan itu hanya boleh dibuat oleh Musa tetapi pihak pendakwaan tidak memanggilnya untuk memberikan keterangan sebagai saksi, lapor Bernama.

"Pihak pendakwa akan berhujah yang kami boleh menemubual DSP Musa tetapi sekadar menemubual adalah tidak bernilai jika kami tidak tahu apa yang dia telah kata kepada polis. Dengan itu, pasukan pembelaan tidak mempunyai keterangan yang menyeluruh," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup membantah permohonan Kamarul Hisham.

Kenyataan beramaran merupakan dokumen dilindungi, katanya.

"Kami telah menawarkan saksi dan beliau bebas untuk ditemu bual. Pihak pembelaan berhujah yang mereka tidak mendapat keterangan menyeluruh kerana mereka tidak mempunyai dokumen itu tetapi mereka sebenarnya boleh bertanya kepada saksi sama ada dia ada membuat kenyataan yang serupa kepada polis.

Mahkamah putus esok

"Sehingga kini kami tidak tahu apakah pentingnya kenyataan itu kepada tertuduh.

"Kenyataan itu adalah berkaitan dengan tertuduh ketiga (Razak). Tertuduh kedua tidak mungkin disebut dalam afidavit itu selain tertuduh ketiga menyatakan dia tidak kenal tertuduh kedua," katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata mahkamah akan memutuskan esok sama ada akan memerintahkan pihak pendakwaan membekalkan salinan kenyataan beramaran itu kepada pihak pembelaan.

Kamarul Hisham sebelum itu itu berkata dokumen itu bagi membolehkan pihak pembelaan menyediakan kenyataan Sirul Azhar yang akan diberikan dari kandang saksi.

Mengenai permohonan Kamarul Hisham bagi rekod khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diperoleh pihak pendakwaan semasa penyiasatan tetapi tidak dikemukakan di mahkamah, Manoj berkata:

"Bagi pihak kami, kami telah membekalkannya. Apa yang kami ada ialah berkaitan log. Kami juga telah menyerahkan rekod SMS berkaitan Rohaniza, Sirul, Azilah, DSP Musa dan mangsa."

Selepas mendengar keterangan itu, Kamarul Hisham menggugurkan permohonannya.

Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Sirul Azhar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) dituduh membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja antara 10 malam, 19 Okt 2006 dan 1 pagi keesokannya.

Pada 31 Oktober tahun lepas, mahkamah membebaskan dan melepaskan Abdul Razak, 48, daripada pertuduhan bersubahat dengan mereka di Kuala Lumpur antara jam 9.54 pagi 18 Oktober 2006 dan jam 9.45 malam hari berikutnya tanpa memanggilnya membela diri.


http://www1.malaysiakini.com/news/96936

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...