Thursday, January 22, 2009
Geng Ronald tumpas
Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
ahmadtajol@hmetro.com.my
KAJANG: Pemburuan ketua kumpulan penjenayah dikenali dengan jolokan ‘Geng Ronald’ yang aktif melakukan kegiatan samun dan pecah rumah sejak dua tahun lalu berakhir semalam apabila tiga maut termasuk ketua kumpulan itu dalam satu kejadian berbalas tembak berhampiran Plaza Tol Sungai Ramal, Kajang, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, ketua kumpulan terbabit yang dikenali sebagai Ronald, berusia 40-an mati di tempat kejadian selepas terkena tembakan.
Harian Metro difahamkan, taktik mengenakan dua helai baju pada masa sama dikenal pasti antara modus operandi kumpulan yang terbabit dengan kira-kira 50 kes samun di tujuh negeri dan dijadikan topeng bagi mengelak mereka dikenal pasti mangsa.
Selain menyamun dan mensasarkan rumah VIP, geng terbabit turut melakukan jenayah rogol berdasarkan rekod yang dicatatkan di Johor, tahun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, ketika ditemui Harian Metro di lokasi kejadian, semalam, menjelaskan geng terbabit sangat dikehendaki polis berdasarkan rekod jenayah itu dan dipercayai dapat membantu siasatan.
“Kami ‘terhidu’ pergerakan tiga suspek yang ketika itu menaiki kereta Waja warna perak di Salak Selatan sebelum mengekori mereka sehingga ke lokasi kejadian.
“Sebaik menyedari pergerakan mereka diawasi, seorang daripada suspek mengacukan pistol dan melepaskan dua das tembakan ke arah anggota polis,” katanya.
Khalid berkata, anggota yang mengekori suspek terpaksa melepaskan tembakan bagi tujuan mempertahankan diri dan mengenai ketiga-tiga suspek berusia antara 25 hingga 40 tahun itu.
“Ketiga-tiga suspek yang mati ditembak warga Indonesia yang turut memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya.
Difahamkan, sebaik melakukan jenayah, mereka akan pulang ke negara masing-masing dan kembali ke negara ini bagi meneruskan kegiatan jenayah berdasarkan rekod kekerapan keluar masuk.
Polis turut percaya masih terdapat beberapa lagi ahli kumpulan itu yang masih bebas dan operasi memburu saki-baki geng terbabit diteruskan.
Hasil pemeriksaan, polis menemui sepucuk pistol buatan sendiri berserta enam butir peluru hidup jenis .32 termasuk beberapa peralatan dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090120072800/Article/index_html
No comments:
Post a Comment