Thursday, January 22, 2009
Khianat sejak zaman P Ramlee
KUALA LUMPUR: “Perbuatan mengenakan sihir atau santau antara sesama artis bukan perkara baru kerana ia berlaku sejak zaman kegemilangan Tan Sri P Ramlee lagi.
“Puncanya mudah, iaitu hasad dengki atau tidak boleh lihat rakan artis lain hidup senang,” kata Presiden Papita, Datuk M Daud Wahid ketika dihubungi.
Menurut beliau, jika dilihat pada ‘permukaan’, ada artis yang kelihatan baik serta bergaul dengan rakan artis lain.
“Bagaimanapun, hati manusia tidak dapat diduga, mungkin hanya kerana dengki, mereka sanggup menggunakan santau untuk memastikan pintu rezeki saingan masing-masing tertutup.
“Mungkin juga ada yang tidak puas hati dengan kata-kata dihamburkan rakan artis lain, menyebabkan mereka berdendam dan menjadikan santau sebagai satu cara membalas dendam dan sebagainya,” katanya.
Beliau tidak menafikan ada artis tanah air yang terkena santau, tetapi jumlah berkenaan mungkin tidak ramai.
Bagaimanapun, M Daud tetap menganggapnya sebagai perkara serius, lebih-lebih lagi ia membabitkan periuk nasi artis yang menjadi mangsa.
“Sukar menghentikan perbuatan santau sesama artis kerana kita tidak dapat mengagak apa yang terbuku dalam hati pihak lain.
“Pandangan saya, hentikan kerja jahat terbabit kerana ia bukan saja tidak berfaedah, sebaliknya turut menerima kutukan daripada tuhan,” katanya.
Beliau turut berpesan kepada artis yang terasa terkena santau supaya segera mendapatkan khidmat mereka yang arif dan tidak menunggu ia bertambah parah hingga merosakkan tubuh badan.
“Jangan malu untuk berubat kerana kita perlu berusaha demi memastikan kesihatan sentiasa dalam keadaan baik.
“Bagi yang menghantar santau pula, hentikan perbuatan itu dan yakinlah, balasan daripada tuhan akan datang kepada hamba-Nya yang ingkar,” pesannya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090118174044/Article/index_html
No comments:
Post a Comment