Thursday, January 22, 2009

Calon MT beri wang


Oleh Kamarulzaman Pid
amar@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Seorang calon ahli Majlis Tertinggi (MT), Umno, berdepan tindakan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas dipercayai terbabit dalam politik wang bagi membantunya memenangi jawatan itu pada pemilihan parti Mac ini.

Sumber SPRM berkata, ahli politik berusia 40-an yang juga Ketua Umno bahagian itu dipercayai terbabit dalam kegiatan itu selepas penahanan 12 ahli Umno termasuk seorang wanita dalam serbuan di beberapa lokasi di Maran dan Temerloh, Pahang, malam kelmarin.

“Ahli politik itu dipercayai memberi wang kepada mereka antara RM300 hingga RM500 setiap seorang bagi membantunya memenangi jawatan itu.

“12 ahli Umno yang ditahan itu dipercayai perwakilan bahagian yang akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno Mac depan,” katanya.

Bagaimanapun, sumber itu enggan mendedahkan lokasi serbuan itu dilakukan.

Sumber itu berkata, ahli politik itu akan ditahan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Semua yang ditahan itu dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas diambil keterangan semalam, kecuali seorang lelaki yang masih ditahan,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu tetapi enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

Beliau juga enggan mengulas mengenai bila ahli politik berkenaan ditahan membantu siasatan.

Akhbar semalam melaporkan seorang Naib Ketua bahagian Umno di Perak dan dua ejen calon Ketua Umno Bahagian, masing-masing di Pahang dan Melaka menjadi kumpulan pertama didakwa bersabit kes rasuah politik sejak SPRM beroperasi 1 Januari lalu.

Ketiga-tiga mereka didakwa hari ini mengikut Seksyen 10 (b) Akta SPRM 2008 yang boleh dihukum penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Shukri sebelum ini dilaporkan berkata SPRM sudah menyelesaikan beberapa lagi kes dan sedang dipertimbangkan tindakan lanjut.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090122083912/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...