Thursday, January 22, 2009

45,000 mungkin hilang kerja


KUALA LUMPUR: Kira-kira 45,000 pekerja dari pelbagai sektor pengilangan mungkin kehilangan pekerjaan apabila kebanyakan kilang akan memberhentikan sementara pekerja menjelang perayaan Tahun Baru Cina, hujung bulan ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata perkara itu berlaku kerana pengurusan kilang akan menutup operasi selama dua atau tiga minggu dan pekerja diminta mengambil cuti sama ada diberi cuti bergaji atau tanpa gaji.

“Ini kerana permintaan terhadap pengeluaran kilang yang berkurangan pada masa itu menyebabkan langkah ini (pemberhentian sementara) dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Agro Explosion 2009 Seminar & Workshop’ anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kuala Lumpur dan Selangor di sini, semalam.

Beliau berkata, sehingga 12 Januari lalu, seramai 14,000 pekerja dari pelbagai sektor diberhentikan kerja kerana kegawatan ekonomi dunia yang turut melanda negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat 15,000 kekosongan kerja dari pelbagai sektor yang didaftarkan di bawah Kementerian Sumber Manusia.

“Sebanyak 80 pusat pemantauan pemberhentian pekerja diwujudkan di pejabat Jabatan Tenaga Kerja di seluruh negara bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung kekosongan kerja,” katanya.

Mengenai rancangan kerajaan untuk mewujudkan skim pencen bagi pekerja swasta melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibantah kesatuan sekerja, Subramaniam berkata, bantahan itu timbul kerana salah faham.

“Kementerian sebenarnya memikirkan kebajikan warga emas yang tidak mampu bekerja mahupun menyara kehidupan selepas pencen apabila wang KWSP habis digunakan. Oleh itu, kita memang memerlukan satu sistem yang boleh membantu golongan ini,” katanya.

Subramaniam berkata, kerajaan sebenarnya sedang mengkaji skim itu dan memerlukan maklum balas daripada kesatuan sebelum membincangkan perkara berkenaan untuk mendapat keputusan yang paling sesuai.

Semalam Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membantah cadangan kerajaan itu. — Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090119092417/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...