Thursday, January 22, 2009

S'gor tubuh j/kuasa tangani pemberhentian pekerja


Jan 22, 09 11:09am

Kerajaan Selangor bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak untuk menangani masalah pemberhentian pekerja akibat kesan kemelesetan ekonomi dunia.

Persetujuan untuk menubuhkan jawatankuasa tersebut diputuskan dalam mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri Selangor semalam.

Jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan dianggotai semua ahli exco kerajaan negeri.

Ia juga akan turut dianggotai ahli lembaga Kesatuan Pengilang Malaysia (FMM), Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC), pengarah sumber manusia dan pengarah kebajikan di Selangor.

Manakala Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) dan Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) akan bertindak sebagai sekretariatnya.

"Kerajaan negeri juga akan menjemput ahli-ahli tertentu dalam Majlis Perniagaan Selangor untuk menganggotai jawatankuasa ini," kata kenyataan pejabat menteri besar Selangor semalam.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut akan mengadakan perjumpaan setiap minggu mulai 30 Januari ini bagi membincangkan cara-cara mengatasi masalah pemberhentian pekerja di Selangor.

"Skop utama perbincangan termasuklah kajian terperinci situasi pemberhentian pekerja di Selangor, merangka langkah-langkah bantuan bagi setiap pekerja di Selangor serta mendapatkan penyelesaian, termasuk bantuan latihan, bantuan kewangan dan peluang-peluang perniagaan di Selangor.

"Kerajaan negeri Selangor berharap, dengan adanya jawatankuasa ini, akan dapat sedikit sebanyak membantu setiap pekerja di Selangor yang telah diberhentikan bagi mencari alternaif baru dalam meneruskan kehidupan," katanya.


http://www1.malaysiakini.com/news/96946

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...