Muda Mohd Noor Jan 22, 09 2:54pm
Ketua Pemuda Umno Johor, Datuk Razali Ibrahim mengakui bahawa pemimpin Umno kini kurang mesra dengan rakyat sehingga menimbulkan tanggapan bahawa parti itu tidak mesra rakyat.
Menurutnya, ia berlaku kerana suasana perjuangan dan tuntutan hari ini telah berbeza daripada dahulu.
Menurutnya, ia berlaku kerana suasana perjuangan dan tuntutan hari ini telah berbeza daripada dahulu.
Oleh itu, katanya, pemimpin Umno perlu kerap mendampingi rakyat, bukan sahaja untuk bertemu muka tetapi menyampaikan maklumat kepada mereka.
“Mereka juga perlu merendah diri, tidak sombong dan ikhlas, dan keikhlasan itu perlu dicerminkan,” katanya.
Razali yang juga calon jawatan naib ketua Pemuda Umno dalam pemilihan Umno Mac depan, menyifatkan dakwaan bahawa Umno sudah hilang tarikan, sebagai propaganda pihak tertentu sahaja.
Katanya, Umno menyediakan pelbagai keperluan untuk orang muda tetapi mereka mungkin tidak menyedarinya.
“Tetapi kita perlu mencari jalan untuk memastikan mereka tetap bersama Umno,” katanya.
Daya tarikan
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pemimpin Umno kurang mesra dengan pengundi.
Manakala, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, parti itu telah hilang daya penarik terutamanya di kalangan orang muda.
Kedua-dua mereka berkata demikian ketika diminta mengulas kekalahan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari lalu.
Sementara itu, exco Pemuda Umno, Datuk Idris Haron berkata, Umno hilang daya tarikan di kalangan rakyat kerana masih terikat dengan cara lama.
Ini bermakna, katanya, pemimpin Umno perlu berubah mengikut keperluan semasa.
“Umpamanya, untuk membuat sesuatu keputusan, ia perlu mengambil kira pandangan dari semua pihak.
“Kalau hendak memilih calon, mestilah mengambil kira kehendak pengundi di kawasan terbabit,” kata beliau yang juga timbalan menteri pengajian tinggi.
Mengenai pemimpin Umno yang dikatakan kurang mesra, Idris berkata, pemimpin akar umbi perlu lebih mesra dengan masyarakat di kawasannya.
Katanya, jika pemimpin mesra rakyat, mereka sekaligus melihat Umno sebagai parti yang mesra rakyat.
http://www1.malaysiakini.com/news/96971
No comments:
Post a Comment