Thursday, January 22, 2009

Sakit usah buat mainan


Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: “Saya sedih kerana masih ada pihak yang menggunakan kaedah purbakala (santau) hanya semata-mata mahu melihat pihak lain susah. Bukankah itu khianat namanya,” kata Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof.

Menurutnya, industri hiburan tanah air yang semakin maju dengan pelbagai alatan canggih tidak memerlukan individu pendengki, lebih-lebih lagi ia menjejaskan periuk nasi orang lain.

Bagaimanapun, dia menasihatkan artis yang mendakwa terkena santau supaya memeriksa dengan doktor dan mengambil kira pandangan pakar mengenainya sebelum membuat tuduhan melulu kepada artis lain menerusi media.

Ini kerana katanya, dia bimbang jika artis tertentu mempunyai agenda cuba mendapatkan publisiti murahan dengan mengadu kepada pihak media yang sekali gus sebenarnya merosakkan imej industri hiburan tempatan.

“Kita akui industri hiburan tempatan terlalu banyak calon mahu menempatkan diri untuk popular sedangkan peluang pula tidak sebanyak calon yang ada.

“Sesama artis perlu ada sifat kasih kepada sahabat seperjuangan yang mencari rezeki dengan cara sama. Tidak perlulah menggunakan santau atau usahlah cuba mencari populariti dengan cara mendedahkan kononnya terkena santau.

“Soal sakit jangan dijadikan permainan kerana sudahlah berdosa mengelirukan banyak pihak, malah sebenarnya tidak mendatangkan faedah kepada tuan punya badan itu sendiri,” katanya mengulas laporan muka depan Metro Ahad, semalam.

Laporan memetik, perang mulut di kalangan artis sehingga timbul persengketaan mungkin perkara biasa dalam industri hiburan.

Tetapi agak mengejutkan apabila ada segelintir yang bertindak keterlaluan termasuk mengenakan santau demi melunaskan dendam atau membunuh terus karier rakan seperjuangan mereka.

Mengulas perkara sama, tokoh agama, Hassan Mahmud Al-Hafiz, menyatakan tidak kira sama ada artis atau sesiapa saja, perkara utama yang perlu diberikan perhatian ialah menyelesaikan punca berlakunya perbuatan santau iaitu hasad dengki.

“Individu yang melakukan perbuatan hasad dengki kepada orang lain dengan menggunakan santau sepatutnya berfikir tindakan mereka itu jelas tidak bertamadun...mahukan sesuatu dengan sanggup berbuat apa saja termasuk mengetepikan nilai insan.

“Pihak berkenaan hatinya kotor, boleh menimbulkan fitnah dan adu-domba serta jauh dari hidayah Allah. Justeru, jika mahu selesaikan masalah santau perlu terlebih dulu memulihkan rasa kasih sayang,” katanya.

Beliau turut mencadangkan undang-undang digubal berkenaan perkara ghaib yang merosakkan kehidupan orang lain kerana setakat ini pesalah akan terlepas disebabkan ia tidak termaktub di bawah apa-apa undang-undang.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090119095639/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...