Thursday, January 22, 2009

Hantu coklat dicekup


BUKTI...antara coklat dan barang lain yang
cuba dilarikan suspek.


KUALA LUMPUR: Seorang juruwang sebuah kedai serbaneka di Kompleks Pasar Seni mula gelisah apabila seorang pelanggan kedai itu mula bersikap pelik dan enggan membayar harga bagi sejumlah barang antaranya kepingan coklat yang diambil ketika diminta berbuat demikian.

Lakonan lelaki berusia 32 tahun ‘hantu coklat’ itu, yang menyamar sebagai wakil syarikat menjalankan pemeriksaan terhadap stok barangan di kedai itu membuatkan juruwang terpukau dengan kata-katanya dan tidak menyangka dia adalah pencuri.

Dia juga dikatakan mengambil kesempatan memperdaya juruwang warga negara Bangladesh itu apabila memasuki kedai berkenaan ketika pengurus kedai itu keluar makan tengah hari pada jam 1 tengah hari kelmarin.

Bagaimanapun, kerana risau dimarahi pengurusnya, juruwang berkenaan nekad merampas barang diambil lelaki terbabit apabila mula mengesyaki ada yang tidak kena dengan gelagat lelaki itu yang bertindak memarahinya kerana terlalu banyak bertanya.

Bukan itu saja, hantu coklat itu turut menumbuk mangsa di badan dalam usaha merampas semula barang berkenaan apabila mangsa mula melawan.

Orang ramai serta beberapa peniaga lain yang menyaksikan aksi tarik menarik itu menghubungi jabatan keselamatan kompleks berkenaan bagi melaporkan kejadian itu.

Tindakan pantas pegawai keselamatan berjaya memberkas pencuri berkenaan dan ditahan untuk soal siasat.

Pegawai keselamatan berkenaan, Norhafizul, Nor’aie, 28, berkata pihaknya mencurigai gelagat penjenayah itu yang dikatakan berada terlalu lama dalam kedai dan enggan membayar barangan diambil.

“Pemeriksaan dijalankan polis mendapati, suspek bersama beberapa rakannya sebelum ini, pernah dicekup atas dakwaan mencuri barang di pasar raya dan ditahan bagi siasatan.

“Nampaknya dia masih belum insaf dan mengulangi perbuatan sama dengan alasan barang dicuri adalah untuk kegunaan sendiri berikutan dia sedang menganggur,” katanya.

Antara barangan yang cuba dilarikan lelaki terbabit adalah kepingan coklat, air minuman, diari, buku, bateri serta barangan perhiasan lain bernilai RM300.

Difahamkan suspek pernah memohon jawatan sebagai juruwang di kedai terbabit beberapa bulan lalu bagaimanapun, ditolak atas sebab tertentu.

Suspek dibawa ke Balai Polis Daerah Dang Wangi bagi siasatan berhubung kes berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090119095155/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...