Thursday, January 22, 2009

Obama angkat sumpah Presiden


OBAMA menangkat sumpah jawatan Presiden di hadapan Ketua Hakim, John Roberts (kanan) di bangunan Capitol, Washington semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


WASHINGTON - Barack Hussein Obama semalam mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-44 di bangunan Capitol di sini.

Obama menjadi pemimpin kulit hitam pertama memegang jawatan itu selepas beliau memenangi pilihan raya Presiden pada 4 November tahun lalu menewaskan John McCain dari parti Republikan.

Dalam upacara itu, beliau meletakkan tangan di atas kitab Injil yang pernah digunakan oleh Abraham Lincoln pada 1861 ketika mengangkat sumpah jawatan Presiden.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Ketua Hakim John Roberts.


ORANG ramai memenuhi kawasan sekitar bangunan Capitol di Washington semalam untuk menyaksikan upacara angkat sumpah Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat.
--------------------------------------------------------------------------------


Sebelum itu, Joe Biden mengangat sumpah sebagai Naib Presiden AS.

Selepas mengangkat sumpah, Obama berucap selama 17 minit dengan menyentuh isu perpaduan rakyat AS.

Obama yang mempunyai ibu berkulit putih dari Kansas manakala bapanya berasal dari Kenya menggunakan nama Barack Hussein Obama ketika mengangkat sumpah.

Pada waktu pagi sebelum beliau mengangkat sumpah, Obama dan isterinya Michelle mengunjungi gereja St. John's Episcopal yang dikenali sebagai gereja untuk Presiden.



OBAMA dan isteri bergambar bersama Bush serta isterinya, Laura di White House semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


Obama yang berumur 47 tahun turut bersarapan pagi bersama George W. Bush dan isterinya, Laura dalam acara tradisi di White House.

Selepas Obama mengangkat sumpah, ejen-ejen Perkhidmatan Rahsia mengiringi Bush yang kini bergelar bekas Presiden AS menaiki sebuah helikopter.

Bush bertolak ke Pangkalan Tentera Udara Andrews di Maryland untuk ke Texas dengan menaiki sebuah pesawat Presiden.

Selepas majlis mengangkat sumpah itu berakhir, Obama memasuki bangunan Capitol dan makan tengah hari bersama 200 anggota Kongres AS dan tetamu undangan lain.


OBAMA dan isterinya memasuki gereja St. John's Episcopal sebelum mengangkat sumpah di Washington semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


Tetamu-tetamu dihidangkan dengan daging burung kuang bayas dan itik yang dimasak mengikut masakan Cina di bilik Lincoln, White House.

Selepas makan tengah hari, Obama dibawa ke Pennsylvania Avenue dengan kereta rasmi terbarunya yang diberi nama The Beast.

Beliau juga menyaksikan perarakan yang menjadi tradisi meraikan Presiden baru AS sejak 200 tahun lalu. - Agensi



http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...