Thursday, January 22, 2009

Pakatan Rakyat tubuh Majlis MB, KM


BERSIDANG...dari kanan Azizan, Nizar, Khalid dan
Guan Eng persidangan kali pertama, semalam.


ALOR SETAR: Pakatan Rakyat semalam mengumumkan penubuhan Majlis Menteri Besar dan Ketua Menterinya bagi membentuk kesepakatan dari segi pelaksanaan dasar serta menangani isu dalam lima negeri yang ditadbirnya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata penubuhan itu bertujuan membantu mereka bertukar-tukar fikiran dari segi pelaksanaan, maklumat, kejayaan dan masalah pentadbiran.

“Dalam erti kata lain, ia memberi nafas dan harapan baru dalam kerajaan Pakatan Rakyat,” katanya kepada pemberita selepas majlis Persidangan Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri Kerajaan Negeri Bersama Kepimpinan Pakatan Rakyat, semalam.

Majlis dipengerusikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat itu turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; dan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.

Persidangan itu bersetuju menubuhkan sekretariat bagi mengendalikan majlis berkenaan dan Majlis Exco bagi kelima-lima negeri di bawah Pakatan Rakyat itu.

Sementara itu, Lim berkata, penubuhan itu diharap dapat memantapkan taraf pengurusan negeri dan tidak tertumpu kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri saja, tetapi bagi semua organisasi.

“Ia juga dapat membantu meningkatkan konsep persamaan pendapat, maklumat dan tambah nilai.

“Selain itu, ia membawa kepada perkongsian pandangan dengan kejayaan di negeri masing-masing serta menyelesaikan masalah secara musyawarah,”
katanya.

Beliau berkata, majlis itu penting kerana ia membantu mengurangkan semangat kenegerian serta menjurus ke arah satu negara.

Majlis itu mesyuarat sekurang-kurangnya dua kali setahun dan dipengerusikan Menteri Besar di mana tempat negeri mesyuarat berlangsung.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090119092934/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...