Thursday, January 22, 2009

Ahamad Kuris hadapi tuduhan rasuah


Jan 21, 09 1:00pm

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semenyih di Selangor, Datuk Ahamad Kuris Mohd Nor mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM30,000.

Beliau juga dituduh meminta rasuah wang tunai RM170,000 dari seorang kontraktor, dua tahun yang lalu.

Ahamad Kuris dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang untuk tiga pertuduhan pertama dan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, lapor Bernama.

Bagi pertuduhan pertama, Ahamad Kuris, 52, didakwa secara rasuah cuba untuk memperoleh satu suapan wang tunai sebanyak RM170,000 dari Azlan Ahmad Marshid iaitu pemilik syarikat Ufuk Rata Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk membantu mendapatkan tender bagi kerja pembinaan jalan keluar-masuk 30meter Taman Impian Ehsan, Balakong, Cheras.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Syarikat Ufuk Rata Sdn Bhd di No 10A, Tingkat 1, Jalan Mesra Niaga Batu 13, Jalan Cheras, Kajang, pada jam 11.53 pagi 26 Feb 2007.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima rasuah RM20,000 dari individu yang sama, dengan tujuan yang sama, di Pejabat Umno bahagian Ulu Langat, Tingkat 2, Bangunan Umno, Jalan Tuanku Hishamuddin, Kajang, pada jam 12.30 tengahari 11 Mei 2007.

Bagi pertuduhan ketiga, beliau didakwa menerima rasuah RM5,000 dari individu yang sama dengan tujuan yang sama, pada 12.30 tengahari 17 Ogos 2007.

Untuk kesemua kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tuduhan alternatif

Bagi pertuduhan alternatif untuk tuduhan kedua, beliau didakwa dengan curang menyalahgunakan wang tunai RM20,000 milik Umno bahagian Hulu Langat, di Pejabat Umno Bahagian Ulu Langat Tingkat 2, Bangunan Umno Jalan Tuanku Hishamuddin, Kajang, pada jam 12.30 tengahari 11 Mei 2007.

Bagi pertuduhan alternatif bagi pertuduhan ketiga, beliau didakwa menyalahgunakan wang tunai RM5,000 milik Umno Bahagian Ulu Langat, di tempat yang sama, pada 12.30 tengahari, 17 Ogos 2007.

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.

Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, beliau turut mengaku tidak bersalah menerima rasuah RM5,000 daripada individu yang sama dalam membuat bayaran kad kreditnya dengan tujuan yang sama, di Malayan Banking Berhad, Menara Maybank, 100 Jalan Tun Perak, pada 27 Februari 2007.

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997, yang membawa hukuamn penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rosbiahanin Arifin membenarkan Ahamad Kuris diikat jamin dengan jumlah yang sama seperti ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Ampang, Nuradidah Ahmad, iaitu RM35,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya, Datuk Abdul Razak Musa memohon mahkamah untuk membenarkan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dibicarakan bersama-sama dengan kes di Mahkamah Sesyen Ampang.

Bagaimanapun, peguambela Akbardin Abdul Kadir tidak membantah.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan semula bagi kesemua kes di Mahkamah Sesyen Ampang.

http://www1.malaysiakini.com/news/96883

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...