Thursday, January 22, 2009

Dua lelaki hanyut 25 hari


GAMBAR bertarikh 17 Januari ini menunjukkan dua lelaki Myanmar yang berada dalam kotak ais meminta pertolongan di perairan utara Australia.
--------------------------------------------------------------------------------



SYDNEY - Dua lelaki Myanmar diselamatkan selepas 25 hari berada dalam kotak ais gergasi di perairan yang menjadi tumpuan jerung di utara Australia, kata pihak berkuasa semalam.

Kedua-dua lelaki itu berada dalam kotak ais selepas bot nelayan Thailand yang dinaiki karam pada 23 Disember lalu sebelum mereka ditemui oleh sebuah helikopter maritim pada Sabtu lalu.

Jurucakap Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia, Tracey Jiggins menyatakan kedua-dua lelaki itu memberitahu terdapat 18 lagi anak kapal yang dipercayai mati lemas.

Mereka dipercayai belayar dari Thailand tetapi lokasi tempat bot itu karam masih belum dikenal pasti.

Seorang jurucakap sebuah helikopter yang menyelamatkan kedua-dua lelaki itu, Peter Heath berkata, ayat pertama keluar dari mulut mereka adalah: "Bolehkah kami diberi minuman?"

Menurut seorang juruterbang, Terry Gadenne, kedua-dua lelaki itu minum dua liter air dengan cepat.

Seorang jurucakap sebuah hospital berkata, mereka berada dalam keadaan baik dan dibenarkan keluar semalam.

Kedua-dua lelaki itu kini ditempatkan di sebuah motel sehingga identiti diri mereka dikenal pasti oleh Jabatan Imigresen.

Setakat ini masih tidak jelas apakah makanan yang mereka makan ketika berada di laut tetapi satu laporan menyatakan kemungkinan kedua-dua lelaki itu makan ikan yang terdapat dalam kotak ais. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...