Thursday, January 22, 2009
Sukarelawan Cassa bantu selesai pelbagai masalah
KUALA LUMPUR: Masalah rumah tangga serta mutu perkhidmatan pusat perubatan swasta antara isu yang sering diadukan kepada Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) sepanjang tahun lalu.
Presidennya, Datuk Dr Jacob George, berkata aduan membabitkan masalah rumah tangga seperti ditipu suami atau isteri menjadi antara perkara yang diadukan kepada mereka.
“Walaupun perkara ini nampak seperti tidak patut diadukan kepada kami, namun kami tetap mencari jalan membantu pengadu dengan memberikan nasihat melalui sukarelawan yang kami ada,” katanya.
Menurutnya, selain masalah itu, isu berkaitan mutu perkhidmatan pusat perubatan swasta turut menjadi perkara yang sering diadukan kepada Cassa.
“Ramai pengguna menyuarakan rasa tidak puas hati mereka berkaitan mutu perkhidmatan yang diberikan beberapa pusat perubatan swasta dan mereka terpaksa membayar bil tinggi untuk perkhidmatan berkenaan,” katanya.
Dr Jacob berkata, tidak banyak aduan seumpama itu dapat diselesaikan kerana pengguna tidak menyimpan bukti menggunakan perkhidmatan itu.
“Ramai pengadu tidak menyimpan resit yang menjadi bukti caj mahal dikenakan seperti didakwa, namun tanpa resit itu, kami tidak boleh berbuat apa-apa selain memberikan nasihat,” katanya.
Menurutnya, hampir 90 peratus masalah yang diadukan dapat diselesaikan dengan menggunakan khidmat sukarelawan Cassa.
“Kami tidak membawa aduan yang dikemukakan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) kerana hampir semua masalah dapat kami selesaikan menggunakan kepakaran yang kami ada,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Jacob berkata, Cassa turut menerima aduan daripada penduduk luar Shah Alam dan Subang malah pelancong asing juga antara yang pernah meminta bantuan mereka.
“Walaupun Cassa adalah persatuan pengguna Shah Alam dan Subang, namun kami turut menerima aduan daripada penduduk luar termasuk pelancong asing.
“Antara perkara diajukan berkaitan agensi pelancongan yang didakwa tidak memberikan khidmat yang dijanjikan,” katanya.
“Cassa turut mempunyai sukarelawan di beberapa negeri termasuk Sarawak dan mereka sedia menerima aduan yang dikemukakan. Kami sedaya upaya cuba membantu pengguna walaupun masalah yang diutarakan kecil saja,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090119092346/Article/index_html
No comments:
Post a Comment