Thursday, January 22, 2009

Rizab lebih RM316.8b


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melakukan pelbagai usaha mengharungi kesan krisis ekonomi global yang semakin buruk, termasuk memberi jaminan kepada pelabur kedudukan ekonomi Malaysia masih di tahap meyakinkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata, dalam tempoh setahun ini negara masih mampu bertahan berdasarkan fundamental kukuh, dengan lebihan dagangan yang sihat serta rizab antarabangsa melebihi RM316.8 bilion.

Katanya, usaha berterusan untuk meyakinkan pelabur bahawa negara ini adalah destinasi pelaburan utama diperlihatkan menerusi kestabilan politik, daya saing negara serta sumber modal insan berkualiti dan mempunyai ciri diperlukan industri.

“Kerajaan memang komited melakukan pembaharuan dan pengubahsuaian untuk mengukuhkan ekonomi negara. Kita akan terus menjalin kerjasama erat dengan rakan niaga dalam usaha mewujudkan persekitaran perniagaan memberangsangkan.

“Meskipun sedar seriusnya kemelesetan ekonomi dan sistem kewangan global yang mengakibatkan bukan saja kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) berkurangan, sebaliknya pelabur sedia ada juga mungkin gusar dan tidak berdaya, namun kerajaan tetap yakin.

“Kita percaya, Malaysia mampu mengharungi ketidaktentuan ekonomi ini dengan baik dan beri kesan yang paling minimum,” katanya ketika berucap melancarkan dua kenderaan Chana Era edaran Changan Berjaya Auto Sdn Bhd, di sini, semalam.

Turut hadir, Duta China ke Malaysia, Liu Jian; Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Corporation, Tan Sri Vincent Tan; Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation, Datuk Robin Tan; Timbalan Presiden Changan Automobile Limited, Wu Xue Song dan Pengerusi Changan Berjaya Auto Sdn Bhd, Datuk Amer Hamzah.

Najib berkata, kedudukan sektor automotif negara berada pada tahap terbaik walaupun terdapat sedikit pengurangan dari segi jualan dan keluaran sekali gus menyebabkan suasana ekonomi tidak menentu.

“Ini bukan penghalang sebaliknya, hari ini (semalam) menyaksikan kemasukan jenama baru (kenderaan Chana Era) dalam pasaran Malaysia seterusnya menggambarkan keyakinan pengeluarnya terhadap pelaburan dibuat dalam negara.

“Dengan kontrak pemasangan kereta Chana di Johor dan rancangan membangunkan kemudahan pembuatan di Bukit Tagar, Rawang dengan kapasiti pengeluaran 30,000 unit, ia diharap mampu mewujudkan pasaran baru dan peluang pelaburan kepada syarikat pembuatan tempatan,” katanya.

Terdahulu, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Changan Berjaya Auto Sdn Bhd dengan wakil pasaran dari Sri Lanka, Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei. Malaysia akan menjadi hab eksport kenderaan Chana Era, pemanduan sebelah kanan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090120071053/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...